REMBAU: Kampung Sungai Timun, di sini, sememangnya sebuah perkampungan nelayan terkenal di negeri ini yang didiami lebih 500 penduduk, rata-ratanya berkerja menangkap ikan dan udang galah sebagai sumber rezeki harian mereka.
Kampung berkenaan juga pernah menjadi laluan lagenda dan sejarah Yamtuan Negeri Sembilan pertama, Raja Melewar, yang menggunakannya untuk menuju Astana Raja, di sini, melalui Kuala Linggi.
Selain itu, pelancong yang datang ke Sungai Timun tertarik dengan keindahan alam sekitar termasuk kelip-kelip yang berterbangan di sepanjang tebing sungai terutama pada waktu malam.
Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lalu, penduduk kini bimbang keadaan jeti pangkalan kawasan berkenaan yang retak dan condong seolah-olah menanti untuk runtuh, sekali gus membahayakan keselamatan pengunjung. Tinjauan Metroplus mendapati terdapat papan tanda termasuk kawat berduri sebagai amaran supaya tidak menaiki jeti berkenaan berikutan strukturnya tidak selamat. Masalah itu wujud berkemungkinan kerana kurangnya aspek ketahanan pangkalan daripada kesan ombak sungai yang agak kuat pada waktu air pasang selain keadaan tanah lembut. Pengunjung, Choo Ha Ling, 21, berkata dia yang kali pertama mengunjungi Sungai Timun berasa hampa kerana tidak berpeluang menaiki jeti berkenaan untuk menikmati suasana dan pemandangan indah di situ.
“Saya bersama rakan rombongan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi datang ke sini (Sungai Timun) yang diketahui kaya dengan keindahan alam flora dan keenakan masakan udang galah di Rembau. “Bagaimanapun, saya mendapati jeti berkenaan sudah ditutup kepada umum kerana keadaannya yang condong dan seolah-olah terbiar tanpa ada usaha membaik pulih,” katanya di sini, semalam.
Menurut Choo, walaupun sudah ditutup dia bimbang sekiranya ada individu terutama pengunjung luar berdegil memasuki kawasan berkenaan, sekali gus mendatangkan risiko terhadap diri mereka.
Katanya, jeti berkenaan perlu dibaik pulih pihak berkaitan kerana lokasinya yang dipenuhi keindahan alam semula jadi yang mampu menarik kedatangan pelancong.
Bagi Zuridah Ahmad, 22, pihak berkuasa wajar membina pangkalan yang lebih kukuh daripada dipukul ombak dan hakisan tanah.
“Ia bertujuan mengelak berlaku masalah keretakan dan condong disebabkan air yang sering pasang surut di kawasan berkenaan.
“Selain itu, petunjuk arah dari jalan utama perlu ditambah untuk memudahkan lagi pengunjung datang ke situ,” katanya.
Tinjauan mendapati pondok yang disediakan di kawasan berkenaan untuk aktiviti perkhemahan dan memancing turut dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment