Wednesday, November 24, 2010

Lubang dalam



Oleh Ahmad Rabiul Zulkiffli

2010/11/23

Penduduk Kampung Teluk Menara gesa PBT bertindak

KUALA TERENGGANU: Penduduk Kampung Teluk Menara, Manir, di sini diancam bahaya berikutan sebahagian jalan utama ke kampung itu berlubang sejak empat bulan lalu hingga ramai pemilik kenderaan terbabit nahas terutama penunggang motosikal. 

Sehubungan itu, penduduk menggesa pihak bertanggungjawab, segera membaik pulih kerosakan sebelum kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan maut menimpa penduduk kampung berkenaan.
Peniaga, Muhammad Asri Mohamed, 33, berkata dia hampir terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter ketika melalui jalan berkenaan pada suatu malam baru-baru ini.
"Mujurlah saya sempat menekan brek, jika tidak, pasti saya terhumban ke lubang berkenaan. Maklumlah, keadaan jalan itu gelap kerana tiada lampu jalan dan saya terlupa kewujudan lubang itu. 

"Sejak kejadian itu, saya sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan, sekiranya mempunyai jalan alternatif, saya pasti tidak akan menggunakan jalan yang berbahaya ini lagi," katanya. 

Muhammad Asri berkata, penduduk kampung sudah mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga sekarang tiada tindakan susulan diambil. 

"Kami mohon pihak bertanggungjawab segera membaiki jalan itu sebelum bencana menimpa penduduk kerana kami terpaksa melalui keadaan berbahaya ini setiap hari. 
“Sekarang, penduduk kampung menggunakan kayu sebagai tanda jalan itu berlubang. Kami bimbang jika kerosakan itu tidak dibaiki segera, lubang akan bertambah besar apabila tanah mendap terutama pada musim tengkujuh ini," katanya. 

Rakannya, Syafie Abdullah, 45, berkata dia juga mempunyai pengalaman menakutkan ketika melalui jalan itu apabila tayar belakang keretanya terjatuh ke dalam lubang berkenaan. 

"Cemas juga apabila tayar belakang kenderaan terjatuh ke dalam lubang berkenaan, apa tidaknya jalan itu menjadi sangat sempit selepas lubang itu semakin membesar. 

"Jalan ini perlu dibaiki secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kepada orang lain. Penduduk kampung mungkin mengetahui masalah jalan itu, tetapi orang luar yang berkunjung ke rumah rakan atau saudara mereka di kampung ini sangat terdedah kepada bahaya," katanya. 

Pesara, Yusop Mamat, 56, berkata, dia bimbang keselamatan pelajar sekolah terutama di sekolah rendah yang setiap hari berulang-alik berjalan kaki atau berbasikal melalui jalan itu. 

“Sebagai mewakili ibu bapa, saya memohon pihak bertanggungjawab membaik pulih jalan berkenaan, saya tidak berhasrat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi demi kepentingan orang ramai saya merayu,“ katanya.

No comments:

Post a Comment