Wednesday, November 24, 2010
10 tahun guna jalan berlubang
Keadaan jalan yang baik dan selesa menjadi idaman kepada lebih 1,000 penduduk di enam kampung sekitar kawasan To’ Uban selepas 10 tahun keadaan jalan berlubang dan berbatu tidak pernah di baiki. Keadaan tersebut mengakibatkan kesukaran kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti harian kerana merupakan laluan utama mereka.
Penduduk mohon baiki jalan
Seorang penduduk, Norhaya Mat, 48, berkata, jalan yang dibina sejak 1983 itu tidak pernah dibaiki dan keadaannya bertambah teruk dari hari ke hari dan ditakuti mendatangkan bahaya kepada pengguna.
Menurutnya, jalan tersebut menjadi jalan alternatif pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan To’ Uban dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chetok.
“Apabila tiba musim hujan, pelajar yang menggunakan jalan ini sering menghadapi masalah kasut kotor kerana keadaan jalan yang berlopak,” katanya.
Norhaya berkata, jalan ini menghubungkan enam kampung iaitu Kampung Sipul, Kampung Chat, Kampung Banggol Cengal, Kampung Perol, Kampung Kelar Besar, dan Kampung Simpang Sungai Keladi.
“Kami penduduk di sini amat berharap pihak berkenaan dan pemimpin mengambil perhatian mengenai perkara ini.
“Tidak perlu menunggu kejadian tidak diingini berlaku barulah mahu bertindak,” katanya yang pernah mengalami kemalangan ketika menggunakan jalan tersebut untuk menghantar anaknya ke sekolah.
Gelap dan bahaya
Penduduk, Zamri Mat, 45, berkata, keadaan jalan teruk ditambah ketiadaan lampu jalan boleh membahayakan nyawa penduduk di sini.
Menurutnya, pekerjaan utama penduduk di sini ialah petani atau penoreh getah.
“Kita keluar waktu pagi ketika masih gelap dan keadaan jalan yang berlubang menyukarkan kita bergerak kerana khuatir jatuh,” katanya.
Zamri berkata, sebelum ini ada pihak yang tampil membaiki jalan tersebut dengan menambah batu dan tar tetapi ia tidak bertahan.
“Jalan kembali berlubang walau selepas ditambah tar dan batu mungkin kerana kerja yang dijalankan mereka tidak selesai sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, antara penduduk asal di situ, Mahasan Awang, 63, berkata, jalan tersebut tidak pernah dibaiki walau tiada kenderaan berat melalui jalan tersebut melainkan lori yang mengangkut hasil tanaman seperti getah dan sebagainya.
“Saya tidak pasti punca jalan ini rosak kerana tiada sebarang kenderaan berat melaluinya.
“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya untuk keselesaan generasi akan datang,” katanya.
Pernah dibaiki empat tahun lalu
Pengerusi Biro Kebajikan Pelajaran Anak-anak Kelantan (Pakatan), Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud berkata, kali terakhir jalan sejauh empat kilometer itu dibaiki ialah pada empat tahun lalu dan kini keadaannya semakin teruk hingga pernah menyebabkan kemalangan.
“Sebagai anak tempatan, saya berharap pihak berkenaan tampil memberi kemudahan sewajarnya kepada penduduk di sini.
“Mereka layak menerima keselesaan seperti penduduk di tempat lain,” katanya.
Labels:
Lubang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment