KUALA LUMPUR: “Saya pernah diberhentikan belajar oleh kolej sehari sebelum peperiksaan semester pertama berakhir ketika mengambil kursus pembantu perubatan tahun lalu kerana dituduh tidak berkeupayaan hanya kerana mempunyai sebelah kaki,” luah Mohamad Khairul Anuwar Ismail, 20, yang memerlukan kaki palsu.
Khairul berkata, walaupun pada mulanya dia seolah-olah patah semangat akibat dipandang rendah atas kecacatan sejak lahir, tetapi demi masa depannya dia bangkit menyambung pelajaran mengikuti kursus pembantu bedah pergigian di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang. “Ayah sudah meninggal dunia dan ibu tidak bekerja. Kini kehidupan saya serta adik yang menuntut di sebuah kolej di Perak ditanggung adik-beradik lain. “Namun, saya tidak boleh mengharap ihsan mereka selama-lamanya. Saya berharap ada pihak sanggup memberi bantuan RM6,800 untuk membeli kaki palsu bagi memudahkan pergerakan harian saya,” katanya ketika ditemui di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, semalam. Sementara itu, Vivien Chee Hui Xuan, empat tahun, yang cacat sejak dilahirkan turut memerlukan bantuan membeli kaki palsu kerana kaki kirinya pendek. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang berpisah dengan bapanya, Chee Keng Choy, 39, seorang pemandu lori sejak beberapa tahun lalu, Vivien bercita-cita ingin menjadi seorang doktor tetap aktif dan petah bertutur sama ada ditanya dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Chee berkata, tanpa kaki palsu anaknya boleh mengalami pelbagai penyakit sampingan seperti tulang belakang dan buah pinggang kerana berjalan tidak seimbang. Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Arif Haikal Rohaizad, dua tahun, yang dilahirkan tanpa tulang buku lali kanan turut mengharapkan bantuan sama membiayai kos kaki palsunya. Bapanya, Rohaizad Ishak, 28, seorang pemandu yang berpendapatan RM1,100 tidak mampu menanggung kos terbabit apatah lagi isterinya tidak bekerja. “Pembedahan seterusnya apabila dia berumur empat tahun nanti bagi memanjangkan tulang kaki dan sementara ini dia memerlukan kaki palsu,” kata Rohaizad. Orang ramai yang mahu menderma boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan NSTP dan dialamatkan ke Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.
No comments:
Post a Comment