Wednesday, November 24, 2010

Penoreh buta sebelah mata rayu bantuan JKM



SAHARUDIN Ariffin (dua dari kanan) menerima kunjungan rombongan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh di rumah abang iparnya dekat Kampung Tedong, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 23 Nov. - Seorang penoreh yang buta sebelah matanya, merayu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan bebannya menyara keluarga.
Kehidupan Saharudin Ariffin, 43, penduduk Kampung Tedong, Lanchang di sini semakin tertekan apabila mata kanannya pula semakin kabur sejak akhir-akhir ini sehingga menyukarkannya untuk bekerja.
Akibat masalah itu, Saharudin yang berkahwin sejak 13 tahun lalu dengan Norsamina Mohd. Rathain, 33, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sebulan kerana tidak mampu melakukan kerja-kerja lain.
Menurutnya, pendapatan yang diterimanya itu juga tidak menentu kerana keadaan kebunnya yang sering dilanda banjir terutama pada musim tengkujuh.
"Mata kiri saya buta sejak lahir dan kini mata kanan pula yang semakin kabur hingga menyebabkan saya tidak mampu lagi mencari pekerjaan lain apabila tiba musim hujan.
"Sejak dulu, saya hanya mampu menoreh getah. Saya telah memohon bantuan sara hidup bulanan daripada JKM tetapi hingga kini masih belum mendapat jawapan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menerima kunjungan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh yang diketuai Megat Asri Abdul Jalil di sini semalam.
Saharudin memberitahu, mata kanannya semakin kabur sejak lapan tahun lalu tanpa diketahui puncanya dan kini keadaan lebih teruk apabila hampir hilang penglihatan sepenuhnya
"Saya tidak memohon bantuan besar, hanya mengharapkan bantuan sara hidup bulanan. Sepatutnya mata saya perlu dibedah tetapi jika diteruskan saya bimbang mata pencarian terjejas kerana akan mengambil masa selama tujuh bulan untuk pulih semula," katanya.
Dalam pada itu, Megat Asri menggesa JKM mengkaji semula pemberian bantuan kepada mereka yang layak.
Sehingga kini tegas beliau, JKM hanya meluluskan bantuan kepada pemohon yang mempunyai masalah penglihatan bagi kedua-dua belah mata.
"JKM kena kaji semula hal ini supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak. Pemuda UMNO Temerloh mengharapkan golongan seperti Saharudin perlu dibantu," katanya

1 comment:

  1. Salam. Apa ke halnya JKM Temerloh ni. Nak kene tulis surat ke Ketua Pengarah JKM kot, baru kelam kabut pura2 buat keje.

    Megat nak kene tolong bantu HA tu sampai dapat bantuan JKM. errr... Borang OKU JKM dah isi ke weh???

    ReplyDelete