Tuesday, December 14, 2010

Hakisan tebing bahayakan pengguna





JALAN BELUKAR BUKIT - Meskipun hakisan tebing yang berlaku di laluan ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, masih belum serius, namun keadaannya mampu mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja terutama pengguna jalan raya yang datang dari arah Kampung Sekayu. 

Difahamkan, hakisan itu mula berlaku ketika beberapa gelombang banjir sewaktu musim tengkujuh tahun lalu, namun kini ia semakin teruk sehingga hakisannya semakin menghampiri jalan berikutan keadaan cuaca tidak menentu. 

Tinjauan Sinar Harian kelmarin mendapati pihak berkenaan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) telah turun padang ke lokasi terbabit apabila adanya kon disediakan di situ sebagai penanda. 

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Mohd, 40-an, berkata, sebelum keadaan menjadi semakin serius, dia berharap pihak berkenaan mengambil langkah mengatasinya sekali gus dapat mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini. 

Menurutnya, laluan itu adalah salah satu jalan ke Air Terjun Belukar Bukit dan menjadi pilihan utama bagi penduduk terutama dari Kampung Betong serta Kampung Belukar Bukit ke bandar Kuala Berang. 

“Mungkin bagi komuniti setempat, mereka mungkin sudah sedia maklum mengenai hakisan ini tetapi pastinya tidak bagi pengunjung yang pertama kali ke destinasi pelancongan Air Terjun Belukar Bukit, apatah lagi lokasi hakisan ini terletak berhampiran selekoh. 

“Hakisan ini mula saya sedari ketika dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Berang selepas musim tengkujuh tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, memandangkan keadaan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini, masalah hakisan itu semakin serius walaupun pihak berkenaan mengambil inisiatif awal dengan meletakkan kon. 

Namun, dia turut berharap agar pendekatan lain dapat dilakukan supaya laluan itu lebih selamat digunakan.

No comments:

Post a Comment