KUALA LUMPUR 13 Dis. - Malaysia berada di kedudukan ke-57 daripada 169 negara mengikut Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2010 yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Indeks tersebut menggambarkan kualiti hidup di sesebuah negara mengikut kriteria tertentu seperti pendidikan, ekonomi dan taraf hidup.
Residen UNDP mewakili Malaysia, Singapura serta Brunei, Kamal Malhotra berkata, perkembangan pembangunan manusia di negara ini adalah baik namun terdapat beberapa negara yang mencatatkan perkembangan lebih pantas.
"Kedudukan Malaysia telah jatuh dua anak tangga berbanding berbanding 2005 tetapi ia bukan menunjukkan pembangunan manusia di negara ini merosot.
''Malah nilai indeks bagi Malaysia telah meningkat daripada 0.726 (2005) ke 0.744 (2010),'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Laporan Pembangunan Manusia 2010 bertajuk Kekayaan Negara Sebenar: Jalan Menuju Pembangunan Manusia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Noriyah Ahmad dan Ketua Eksekutif Institut Strategi dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin.
Sementara itu, Noriyah berkata, negara mampu meningkatkan kedudukan dalam indeks tersebut melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
''Antara langkah-langkah yang diambil adalah meningkatkan penyertaan pendidikan prasekolah dengan kerjasama pihak swasta.
''Penduduk luar bandar juga telah disediakan dengan prasarana dan tenaga pengajar bagi prasekolah," katanya.
No comments:
Post a Comment