KEMUDAHAN Internet dan fenomena dunia tanpa sempadan menjadikan industri seks di Filipina semakin membimbangkan ketika kerajaan masih gagal mengekang masalah pelacuran kanak-kanak.
Pihak berkuasa dan pekerja sosial berkata, ‘bapa ayam siber’ kini menawarkan pelbagai perkhidmatan seks murah melalui Internet.
Ia membayangi kemajuan sektor industri yang menjadikan negara itu sebagai pusat pengeluaran barangan untuk pelbagai syarikat besar dunia di negara maju.
Dalam satu serbuan polis ke atas sebuah rumah di bandar Olongapo di utara Filipina baru-baru ini, lima remaja perempuan berusia di antara 14 dan 18 tahun, bersama tiga wanita dewasa ditemui melayan nafsu pelanggan yang berada mungkin ribuan kilometer di seberang laut.
Ketika serbuan dilakukan, mereka melakukan pelbagai aksi seks di depan kamera komputer yang disambungkan secara langsung di laman sesawang tertentu.
Seorang daripada mereka yang digelar Rainbow, 15, berkata bekerja di situ lebih kurang seperti berkhidmat di pusat panggilan komunikasi.
“Kami ditugaskan bergilir untuk bersembang dengan pelanggan dari seluruh dunia.
“Pelanggan boleh meminta kami melakukan apa saja asalkan berbayar,” katanya.
Sebelum menjadi pelayan nafsu siber, Rainbow dan kakaknya yang berusia 17 tahun membantu keluarga mengusahakan kebun mangga jauh di pedalaman.
Mereka akhirnya memutuskan mahu mencuba nasib di bandar dan berhijrah ke Olongapo dengan matlamat menjadi pengasuh budak.
Takdir menentukan kedua-dua mereka akhirnya diupah untuk beraksi di depan kamera komputer bagi melayan nafsu pelanggan di seluruh dunia.
Kata Rainbow, pada peringkat awal mereka mengalami kejutan apabila diarahkan menjadi pemuas nafsu di alam siber.
“Kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk membiasakan diri, tetapi selepas itu segala-galanya menjadi biasa,” katanya.
Sepanjang tempoh itu, mereka tidak dibiarkan sendirian.
Kata Rainbow, ibu saudaranya sentiasa berada di sebelah bagi memastikan setiap kehendak pelanggan mereka yang berhubung hanya melalui Internet dipenuhi.
Apabila serbuan dilakukan Oktober lalu, ibu saudara Rainbow turut diberkas dan kini berdepan dakwaan memperdagangkan kanak-kanak untuk pelacuran.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara seumur hidup.
Satu laporan polis mengenai serbuan itu menyatakan, ketika serbuan dibuat, seorang remaja perempuan bogel dilihat melakukan aksi lucah melampau menggunakan alat permainan seks di depan kamera.
Remaja terbabit kini menjalani proses pemulihan dan kaunseling di sebuah pusat perlindungan dikendalikan seorang paderi Katolik dari Ireland.
Peguam dan kaunselor pusat itu mempunyai latihan khusus dalam bidang psikologi.
Walaupun serbuan polis dilakukan hampir setiap minggu, beberapa pihak percaya, sindiket itu sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangkakan.
Pegawai Biro Siasatan Kebangsaan, Migdonio Congzon, berkata asas kepada masalah itu mempunyai kaitan dengan isu ekonomi.
“Orang ramai mengalami masalah kewangan dan mereka memerlukan sesuatu untuk mengatasinya,” katanya.
Pusat operasi seks siber itu juga, kata Congzon, tidak terhad kepada sesuatu premis khusus.
“Ia mungkin dilakukan di rumah, kondominium atau di mana saja, asalkan ada komputer, kamera dan capaian Internet,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa dilihat kurang bersedia menangani masalah itu yang semakin berkembang di seluruh negara.
Di biro itu sendiri, hanya ada lima pakar jenayah komputer bertugas, tetapi bidang perhatian mereka tidak sekadar industri seks siber.
Mereka juga diperlukan bagi menguruskan jenayah penipuan dan pencerobohan siber.
Secara keseluruhan, dalam pasukan polis Filipina hanya ada lima pakar siber bertugas.
Congzon berkata, apa yang diperlukan Filipina ketika ini adalah undang-undang khusus mengekang aktiviti seks siber.
“Ketika ini, undang-undang pelacuran kanak-kanak agak ketinggalan dengan perkembangan teknologi maklumat,” katanya.
Pegawai kerajaan yang terbabit dalam hal ehwal kebajikan kanak-kanak, Dolores Alforte, berkata polis hanya mampu bertindak ke atas sebahagian kecil maklumat disalurkan kepada mereka.
“Kebanyakan pusat operasi jenayah seks siber dilakukan di rumah persendirian dan tidak boleh diserbu tanpa mendapat arahan mahkamah,” katanya.
Menurut Dolores, usaha mengekang kegiatan itu turut dirumitkan dengan sikap masyarakat yang biasanya hanya mendiamkan diri walaupun mengetahui ada kegiatan tidak bermoral berlaku di sekitar mereka.
Pada 2005, kata Dolores, 70 kanak-kanak dari kawasan miskin di Manila dibayar kira-kira RM200 serta diberi barangan keperluan dapur sebagai upah melakonkan aksi seks untuk seorang pengeluar filem lucah dari Jepun.
Rakaman itu kemudian dimuat naik di Internet.
“Walaupun pihak pendakwa mengambil tindakan, kes itu kemudian digugurkan atas sebab tertentu,” katanya.
Menurut Dolores, setiap pelanggan seks siber itu dikenakan bayaran kira-kira RM47 sejam.
Katanya, kebanyakan pengendali perkhidmatan itu beroperasi berhampiran dengan pusat pemindahan wang untuk memudahkan pembayaran.
“Walaupun begitu, sesetengah pengendali menerima bayaran melalui kaedah lebih terkini iaitu bayaran melalui kad kredit,” katanya.
Teresa Calubid, pakar psikologi di Yayasan Preda - sebuah badan kebajikan ditaja gereja - berkata kemungkinan semua remaja yang diberkas baru-baru ini akan terus ditempatkan di pusat perlindungan sehingga kes itu dibicarakan.
“Ibu bapa mengharapkan mereka pulang, tetapi pada ketika ini ia tidak dapat dilakukan.
“Mereka berdepan gangguan daripada bapa ayam atau pekerjanya, selain ada kemungkinan ibu bapa remaja terbabit memberi tekanan supaya kes berkenaan digugurkan,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment