Tuesday, December 14, 2010

PDRM kutip RM1.5 juta saman trafik


ORANG RAMAI memenuhi kaunter semakan bagi menyelesaikan saman trafik di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 13 Dis. - Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan berjaya mengutip hampir RM1.5 juta saman trafik sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kadar munasabah dengan insentif 50 peratus diskaun, bermula 1 Disember lalu sehingga semalam.
Timbalan Ketua Polisnya, Supritendan Mohd. Zainal Baharom berkata, pihaknya turut mencatat pertambahan luar biasa mereka yang ingin membayar saman iaitu dengan purata 500 hingga 600 orang sehari pada waktu bekerja.
"Setakat semalam, sebanyak RM1,488,410 saman trafik berjaya dikutip. Kaunter bayaran dibuka mulai 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja.
"Kita juga buka kaunter mulai pukul 9 hingga 11 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad untuk memberi peluang kepada orang ramai membayar saman mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, selain kaunter bayaran di pejabat cawangan trafik berkenaan, orang ramai boleh menjelaskan saman masing-masing di pejabat pos atau membuat bayaran menerusi laman web www. myeg.com.my.
"Bagi yang ingin menjelaskan saman mereka di pejabat pos, mereka perlu membawa bersama cetakan butiran saman tersebut daripada pejabat trafik berkenaan.
"Mereka juga akan mendapat potongan sehingga 50 peratus seperti yang diumumkan kerajaan," katanya.
Sementara itu, tinjauan di cawangan trafik tersebut kira-kira pukul 11 pagi mendapati ramai yang sedang menunggu giliran untuk menjelaskan saman masing-masing.
Malah, ramai yang sanggup berdiri apabila kerusi disediakan telah dipenuhi orang ramai.
Bagi memudahkan urusan, pihak cawangan trafik berkenaan memberikan nombor giliran kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment