KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta Mahkamah Syariah agar menyemak butiran setiap kes yang melibatkan perkahwinan remaja bawah umur sebelum memberikan persetujuan.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pendekatan yang lebih berhati-hati dan selektif perlu dilakukan kerana ia penting bagi menjamin masa depan remaja yang terlibat.
Jelasnya, perkahwinan bukan sekadar berkahwin tetapi lebih daripada itu kerana banyak tanggungjawab dan komitmen yang perlu dihadapi oleh remaja berkenaan.
“Isunya sekarang, sama ada remaja itu bersedia untuk menjadi ibu bapa? Adakah mereka bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam usia yang muda?
“Justeru kita meminta Mahkamah Syariah agar lebih berhati-hati sebelum memberikan persetujuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Institusi Kekeluargaan Abad ke-21 anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) di sini hari ini.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Profesor Dr. Mohammad Hashim Kamali.
Persidangan yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu menghimpunkan 25 penceramah dari pelbagai negara untuk berkongsi permasalahan yang dihadapi institusi kekeluargaan daripada perspektif Islam.
Shahrizat berkata demikian mengulas mengenai isu perkahwinan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Siti Marham Mahmod dan pasangannya, Abdul Manan Othman, 23, yang menyertai 250 pasangan lain dalam perkahwinan 1Malaysia baru-baru ini.
Tambah Shahrizat, pihaknya tidak menentang perkahwinan itu sebaliknya prihatin kepada kesan jangka panjang yang akan dihadapi kanak- kanak itu.
Dalam pada itu, Shahrizat dalam ucapannya berkata, keluarga yang kukuh secara tidak langsung akan membantu anak-anak belajar cara-cara penyelesaian masalah, peroleh sokongan kuat dan rasa kesatuan di antara mereka.
Katanya, institusi kekeluargaan yang kuat juga akan membantu mereka untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dan tekanan.
No comments:
Post a Comment