Thursday, January 20, 2011

Al-Azhar: Bunuh diri adalah haram

KAHERAH 19 Jan. - Pusat pengajian Islam paling berprestij di dunia, Universiti Al-Azhar, Mesir semalam berkata, Islam mengharamkan tindakan membunuh diri, walau atas alasan apa sekali pun.

"Negara-negara Islam yang mengamalkan undang-undang Syariah mengharamkan bunuh diri atas alasan apa sekali pun dan tidak menerima tindakan membunuh diri akibat ekspresi tekanan, marah atau protes," kata jurucakap Al-Azhar, Mohammed Rifa al-Tahtawi kepada agensi berita MENA.
"Al-Azhar, bagaimanapun tidak boleh memberi ulasan mengenai kes orang yang membakar dirinya, kerana ia mungkin berpunca daripada masalah mental atau situasi psikologi yang mendorong mereka bertindak sedemikian.
"Kami tidak boleh menghakimi mereka. Kami hanya mampu berdoa dan memohon kesejahteraan ke atas mereka daripada Allah," katanya.
Seorang peniaga muda Tunisia yang membakar dirinya awal bulan ini telah menjadi simbolik dalam pemberontakan yang membawa kepada penggulingan kerajaan Tunisia, serta menjadi ilham kepada berlakunya sembilan tindakan sama di seluruh wilayah berkenaan.
Semalam, seorang peguam berusia 40-an cuba menamatkan hidupnya dengan membakar diri di hadapan ibu pejabat kerajaan di Kaherah, manakala Alexandria, 25, yang mati di sebuah hospital akibat membakar diri sendiri disahkan mengalami gangguan mental oleh pihak berkuasa.
Lima orang lelaki di Algeria dan seorang di Mauritania, bagaimanapun gagal mencabut nyawa dengan membakar diri sendiri. - AFP

No comments:

Post a Comment