Thursday, January 20, 2011

Saya teraniaya politik dendam – Badrul Hisham

SHAH ALAM 19 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, 50, menolak alasan yang dinyatakan oleh Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim bahawa beliau gagal menghadiri sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah sehingga menyebabkan kerusinya itu diisytiharkan kosong.

Menurutnya, sepanjang penggal tahun lalu sidang DUN dijalankan sebanyak tiga kali dan dalam tempoh tersebut, beliau hanya tidak hadir dalam sidang pembentangan bajet pada November tahun lalu.
‘‘Saya belum tengok lagi keputusan yang dibuat tentang pengosongan kerusi DUN saya tetapi mengikut rekod, sekali sahaja saya tidak hadir sidang DUN sepenuhnya iaitu pada November lalu.
‘‘Bagi sidang itu saya sudah menghantar surat memohon cuti kerana masa itu saya rasa macam tidak sihat dan pergi berubat secara tradisional.
‘‘Selepas itu tidak ada lagi sebarang sidang DUN, jadi saya tidak tahu mengapa menyatakan saya tidak hadir selama enam bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Chang Khim dalam sidang akhbarnya petang ini berkata keputusan pengosongan kerusi DUN tersebut dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukkan bagi merayu.
Badrul Hisham telah memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan majoriti 4,407 undi.
Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd. Jamil yang mendapat 7,990 undi manakala calon Bebas, Nazir Mansor mendapat 580 undi.
Bagaimanapun, beliau telah bertindak keluar daripada parti itu pada Oktober 2009 setelah timbul desakan kerajaan negeri supaya wakil rakyat itu meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Beliau kemudian mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas mesra BN pada 2009 dan kemudian memilih menyertai UMNO pada Mei tahun lalu.
Laporan Utusan Online hari ini menyebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dipetik sebagai berkata, Speaker DUN sepatutnya memaklumkan kepada SPR terlebih dahulu sebelum mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu.
Katanya, SPR akan mengkaji terlebih dahulu undang-undang di negeri ini dan Perlembagaan Persekutuan sebelum memutuskan berlakunya kekosongan atau sebaliknya.
Menurut Badrul Hisham, pada masa ini pihaknya belum membuat keputusan sama ada ingin mencabar keputusan Speaker DUN itu di mahkamah atau sebaliknya.
Di sebalik pengumumannya bahawa kerusinya kosong, beliau berkata;‘‘Saya perlu berbincang dengan UMNO terlebih dahulu mengenai kedudukan saya.
‘‘Pada masa yang sama kita perlu juga melihat ketetapan yang akan dibuat SPR sama ada kerusi saya itu benar-benar kosong hingga perlukan satu lagi pilihan raya kecil,” katanya.

No comments:

Post a Comment