Thursday, January 20, 2011

Datuk ditendang cucu meninggal

Dipukul kerana tak beri RM100 


SUNGAI PETANI: Seorang warga emas meninggal dunia Sabtu lalu, selepas dua hari dimasukkan ke hospital akibat ditendang cucunya yang gagal mendapat wang RM100 daripada datuknya itu dalam kejadian di Kampung Alor Nibong, Kota Kuala Muda, dekat sini.Kejadian berlaku jam 3.30 petang Khamis lalu apabila mangsa, Saad Man, 66, didatangi cucu berusia 22 tahun untuk meminta wang RM100.Menurut sumber, berikutan gagal memperoleh wang itu, pemuda terbabit bertindak memukul datuknya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda. 

Katanya, sebaik mengetahui datuknya membuat laporan polis, suspek naik berang dan datang semula ke rumah warga emas itu, sebelum bertindak menendang kuat mangsa beberapa kali. 

Beliau berkata, tendangan itu mengenai dada mangsa menyebabkan tulang rusuk datuknya patah yang kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan. 

“Berikutan kecederaan parah di bahagian dada, mangsa meninggal dunia Sabtu lalu selepas dua hari dimasukkan ke HSAH,” katanya di sini, semalam. 
Kata sumber itu lagi, selepas mendapati datuknya terbaring dan tidak bergerak, suspek melarikan diri tetapi perbuatannya dilihat jiran mangsa yang memaklumkan kejadian kepada polis. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. 

Polis menahan reman pemuda terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

No comments:

Post a Comment