Thursday, January 20, 2011

“Kelantan benarkan arak, haram judi”



KOTA BHARU - Kerajaan Negeri sedia membenarkan premis menjual minuman keras dan menambah pengeluaran lesen premis berdasarkan permintaan pelanggan bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menyekat orang bukan beragama Islam menikmati minuman keras.

“Ini membuktikan, walaupun mengamalkan dasar pentadbiran Islam, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang orang bukan Islam menikmati minuman keras.

“Kita juga bersedia menambah pengeluaran lesen premis minuman keras dan akan mengkaji permohonan itu sebelum mengeluarkan lesen berkenaan berdasarkan formula yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hotel Crown Garden, Jalan Kebun Sultan di sini, semalam.

Takiyuddin berkata, di sekitar bandar Kota Bharu sahaja, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan sebanyak 28 lesen premis minuman keras termasuk di Jalan Kebun Sultan.

Beliau berkata, pihaknya mengharamkan judi di negeri ini kerana perbuatan itu (judi) tidak beri apa-apa faedah kepada orang Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, bagi masalah judi, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur memandangkan sebelum ini pihaknya pernah mengadakan dialog pada 1990 dahulu melibatkan kaum wanita.

“Menyedari pada peringkat awal semasa peraturan mula-mula dibuat, kerajaan Pas menyatakan ketetapan untuk mengharamkan premis judi, wanita bukan Islam turut setuju dengan cadangan berkenaan.

“Kita mendapat maklum balas semasa dialog itu, semua (wanita bukan Islam) bersetuju dengan pengharaman judi memandangkan ada di kalangan suami yang kalah judi memukul isteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment