MOSCOW 19 Jan. - Rusia bakal melancarkan satu saluran televisyen Islam dengan harapan dapat menggalakkan toleransi agama selepas ibu negaranya menyaksikan beberapa pertempuran berdarah sejak kejatuhan Kesatuan Soviet, lapor media negara semalam.
Dicadangkan Presiden Dmitry Medvedev dua tahun lalu, saluran satelit itu akan mula beroperasi di seluruh Rusia pada Februari atau Mac ini, yang dihuni 20 juta penduduk Islam atau tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
"Kita percaya langkah ini penting bagi memupuk semangat toleransi beragama," kata agensi berita RIA yang memetik Pengerusi Majlis Mufti-Mufti Rusia, Ravil Gaynutdin.
RIA melaporkan, rancangan-rancangan televisyen yang ditayangkan di saluran tersebut disasarkan terhadap golongan muda.
Pergerakan neo-nasionalis semakin meningkat sejak tahun lalu sehingga mengejutkan pihak berkuasa serta kebanyakan penduduk Rusia. Di perhimpunan-perhimpunan, sebahagian daripada penunjuk perasaan melaungkan slogan 'Rusia adalah untuk rakyat Rusia'.
Disember lalu, Moscow menyaksikan satu rusuhan paling buruk dalam sejarah selepas era-Soviet apabila polis gagal mengawal 7,000 golongan muda yang berkumpul berhampiran Kremlin daripada memukul individu yang berpakaian bukan Slavik.
Medvedev dan Perdana Menteri, Vladimir Putin mengutuk sekeras-kerasnya keganasan tersebut.
Keganasan itu tercetus akibat pembunuhan seorang peminat bola sepak Spartak Moscow, Yegor Sviridov pada 6 Disember lalu, semasa satu pergaduhan antara sekumpulan etnik Rusia dan pendatang dari wilayah bergolak yang dihuni majoriti penduduk Islam, Caucasus Utara.
Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pemberontakan yang berterusan di Caucasus Utara yang meliputi Chechnya, ramai pendatang dari wilayah itu berhijrah ke kawasan tengah Rusia bagi mencari kerja.
Banyak pihak berkata, mereka tidak menerima layanan yang baik oleh etnik Rusia dan sering berhadapan masalah perkauman. - Reuters
No comments:
Post a Comment