KUALA LUMPUR 19 Jan. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat dan segera kembali ke pangkal jalan ekoran perbuatannya yang terlalu mengikut nafsu semata-mata mahu mencapai matlamat politiknya.
Sambil mengakui perubahan yang berlaku pada Anwar pada masa ini amat memeranjatkannya, beliau berkata, antara perbuatan itu ialah pengiktirafannya terhadap gerakan pluralisme yang jelas amat bertentangan dengan Islam.
Tegasnya, walau apa alasan sekalipun Anwar sebagai seorang Islam haram mengiktiraf gerakan tersebut kerana kesannya boleh membawa seseorang itu menjadi murtad.
''Hanya Islam agama di sisi Allah dan ini jelas termaktub di dalam al-Quran iaitu dalam surah Ali Imran ayat 19: 'Sesungguhnya Din (agama) di sisi Allah hanya Islam'.
''Bagi saya apa yang dilakukan oleh Anwar ini hanya mengikut nafsu. Anwar sanggup menghalalkan cara demi mencapai matlamatnya. Sebagai seorang sahabat saya menasihat supaya Anwar kembali ke pangkal jalan dan segera bertaubat kepada Allah SWT,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap perjuangan Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mengulas lanjut Harussani berkata, sekiranya dikatakan semua agama sama, itu sebenarnya merupakan tindakan yang jelas melawan Allah kerana agama di sisi-Nya hanya Islam.
''Murtad dibuatnya. Pluralisme hanyalah merupakan pendapat John Hick bagi memecahbelahkan orang Kristian pada kurun ke-16,'' katanya.
Justeru Anwar, ujar beliau, harus sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan setiap manusia akan dipertanggungjawabkan apabila berhadapan dengan Allah ketika di akhirat kelak.
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui amat terperanjat dengan perubahan yang berlaku kepada Anwar jika dibanding pada zaman dahulu terutama semasa menjadi pemimpin utama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
''Saya akui pada masa itu saya melihat Anwar merupakan seorang pemimpin Islam yang cukup hebat. Saya juga yakin terhadap kemampuannya membawa perubahan kepada kehidupan yang lebih islamik.
''Bayangkan melalui pengaruh Anwar kebanyakan mahasiswi yang berada di universiti tidak lagi memakai skirt tetapi berbaju kurung. Perubahan itu hasil daripada pengaruh Anwar sendiri,'' katanya.
Namun beliau berkata, harapan yang disandarkan kepada Anwar itu tidak lagi berpanjangan kerana Penasihat PKR tersebut berubah 360 darjah.
''Anwar sekarang bukan Anwar yang dahulu. Anwar sekarang sanggup menghalalkan cara demi mencapai matlamatnya. Anwar sekarang bertindak hanya mengikut nafsunya demi untuk berkuasa,'' katanya lagi.
Dalam pada itu ketika ditanya sejauh mana hubungannya dengan Anwar, Harussani berkata, beliau merupakan individu awal yang bersama-sama berusaha menubuhkan ABIM.
''Saya bukan tidak kenal Anwar. Mula-mula berceramah pasal (penubuhan) ABIM di Pulau Pinang), saya yang pertama buat perhimpunan. Majistret pun saya panggil, ketua polis, semua hadir, saya himpun.
''Apabila diluluskan penubuhannya saya tidak menjadi ahli ABIM. Puncanya, Anwar ketika itu mahu ABIM ke istana. Saya kata, Anwar, sekarang kita baru jadi 'tauge'. Tauge ini, pukul orang, dia patah, orang pukul (pun), dia patah. Biarlah kita jadi batang kacang orang langgar, dia bercalar, kita sebat, dia bercalar,'' katanya.
Ekoran kenyataannya itu, Anwar berkata kepadanya yang beliau telah mati semangat jihadnya.
''Anwar kata, sudah mati, pada kami, Harussani sudah mati, tidak ada lagi (semangat) jihad, jadi saya tidak masuk ABIM,'' ujarnya.
Bercerita lebih lanjut, Harussani juga mengakui yang beliau turut terlibat dalam pernikahan Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika bertugas sebagai Kadi Besar di Pulau Pinang.
Harussani berkata, berdasarkan kuasa yang ada padanya pada masa itu, beliau telah membenarkan Anwar dan Wan Azizah dinikahkan atas wali hakim setelah bapa Wan Azizah tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.
''Bukan saya yang nikahkan tetapi oleh seorang ustaz lain. Saya hanya beri kebenaran sahaja. Akibat kebenaran yang saya berikan itu sepasukan anggota polis datang menemui saya untuk disiasat. Pasukan itu diketuai oleh seorang Asisten Supritendan (ASP).
''Saya tanya sebab apa mereka masuk ke pejabat saya. Pasal kahwinkan (Anwar dan Wan Azizah). Itu hak dia (Anwar) nak kahwin. Pasal apa (awak) datang? Saya yang berkuasa dalam perkara ini. Tunjuk mana undang-undang (yang) salah,'' katanya.
Akhirnya beliau berkata, pasukan polis terbabit tidak ambil apa-apa tindakan.
Sementara itu dalam satu majlis keraian selepas berlangsungnya perkahwinan itu Harussani pernah bertanyakan kepada Anwar mengenai tahap penerimaan bapa Wan Azizah.
''Pada masa itu Anwar sudah menjadi timbalan menteri. Beliau kata pada saya sekarang ini bapa mertua sayanglah,'' katanya lagi.
No comments:
Post a Comment