KUALA LUMPUR - Isteri kedua kepada Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail perlu memfailkan permohonan fasakh jika masih mengekalkan hasrat untuk bercerai.
Rozali dan Justynn Cassandra, 25,mendirikan rumah tangga di Perlis pada 2006 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia empat tahun dan setahun.
Justynn sebelum ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah dekat sini untuk bercerai secara baik dengan Rozali dengan kebenaran mahkamah.
Kes tersebut disebut untuk kali pertama pada 8 Disember lalu dan Hakim Syarie Ab Malik Awang menangguhkan kes bagi membenarkan pasangan itu berbincang secara baik selepas Rozali tidak bersetuju untuk bercerai.
Bagaimanapun, pada prosiding Selasa, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Justynn memberitahu, perbincangan telah diadakan tetapi tidak dapat mencapai keputusan yang positif.
“Pihak kami memohon supaya dibenarkan untuk meminda permohonan asal kepada permohonan perceraian secara fasakh,” katanya.
Ab Malik bagaimanapun berpendapat permohonan baru harus difailkan kerana ianya akan lebih memudahkan prosiding, dan bukannya dengan cara meminda permohonan asal.
Amli ketika dihubungi pemberita mengesahkan bahawa Justynn akan memfailkan permohonan fasakh, bagaimanapun masih tidak mempunyai tarikh untuk berbuat demikian.
Pada prosiding itu, Rozali tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.
No comments:
Post a Comment