Friday, January 7, 2011

Ratib sampai pagi




Aktiviti keagamaan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kap, Lubuk Merbok dikaitkan dengan ajaran sesat. - Foto Mohd Rifaat Abdul Hamid
Aktiviti keagamaan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kap, Lubuk Merbok dikaitkan dengan ajaran sesat. - Foto Mohd Rifaat Abdul Hamid

Penduduk Sungai Kab bimbang ajaran di rumah terpencil

KUALA NERANG: Penduduk Kampung Sungai Kab, Lubuk Merbau dekat sini, mahu pihak berkuasa menyiasat kegiatan kumpulan tertentu yang dipercayai menjalankan aktiviti keagamaan mencurigakan di sebuah rumah terpencil di kampung itu.

Penduduk mendakwa, tindakan pemilik rumah itu yang mengajak sebahagian pengikut ke rumahnya dua kali setahun menimbulkan tanda tanya apabila mereka memberi alasan hanya untuk mendalami ilmu agama.
Tinjauan Berita Harian di sekitar rumah itu baru-baru ini mendapati premis itu kosong, manakala tingkapnya dipasang langsir kuning.
Selain itu, tinjauan mendapati terdapat banyak pinggan mangkuk dan peralatan perabot di dalam rumah berkenaan dan ia dipercayai digunakan ketika ketua dan pengikutnya berkumpul.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sopiah, berkata pada mulanya dia tidak syak apa-apa dan menyangka mereka melakukan perjumpaan tahunan, tetapi apabila memerhatikan gelagat mereka yang datang, termasuk golongan kenamaan yang berkereta mewah dan berada di situ sehingga 10 hari, dia mula tidak sedap hati.

"Ketika berkumpul kami ada mendengar mereka beratib dengan kuat, selain bersolat sehingga awal pagi selepas Isyak.

"Mereka turut mengadakan jamuan ketika berkumpul dua kali setahun dan kami berharap Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyiasat kerana bimbang ia dijadikan markas ajaran sesat," katanya kepada Berita Harian. 
Sopiah berkata, ada antara mereka yang datang itu membawa ahli keluarga dan anak kecil dan berdasarkan maklumat yang diperolehnya, pengikut kumpulan berkenaan akan diasingkan antara lelaki dan perempuan walaupun mereka suami isteri atau adik beradik.

Katanya, pengasingan itu akan berlangsung selama mereka berkumpul di situ.

"Ruangan antara lelaki dan wanita dipisahkan dengan memasang dinding zink yang tinggi supaya mereka tidak dapat melihat pengikut berlainan jantina sepanjang tempoh berkumpul.

"Ia adalah antara amalan yang pelik diamalkan kumpulan itu dan kami mengesyaki ada yang tidak kena dengan kumpulan terbabit," katanya.

Sopiah berkata, jika kumpulan itu tidak mengamalkan ajaran pelik mereka sudah tentu berjemaah di surau atau masjid bersama penduduk kampung dan bukannya mengasingkan diri.

Difahamkan aktiviti kumpulan itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajudin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung dakwaan itu dan siasatan sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad juga berkata pihaknya ada menerima aduan berhubung mengenainya daripada seorang waris yang mendakwa anak mereka turut terbabit dalam aktiviti keagamaan yang mencurigakan, tahun lalu.

"Anggota kita sudah membuat pemeriksaan dan menyerahkan kepada JAIK untuk mengambil tindakan," katanya. 

No comments:

Post a Comment