Monday, February 28, 2011

Chan Kong Choy Didakwa Menipu Dalam Kes PKFZ



28/02/2011 15:53:16 

Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas tiga pertuduhan menipu berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda. Difahamkan, Tan Sri Chan baru kembali ke ibu negara selepas diminta pihak berkuasa bersabit kes ini.

Hakim Azhaniz Teh Azman membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 31 Mac.
Tan Sri Chan adalah bekas Menteri Pengangkutan kedua didakwa bersabit skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik. Perbicaraan terhadap Tun Dr Ling juga masih berjalan sejak bermula 29 Julai tahun lalu

RM4.85 juta saman dijelaskan



28/02/2011 3:44pm

ALOR SETAR – Sejumlah RM4.85 juta saman telah dijelaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejak November 2010 sehingga semalam, kata Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan.
Beliau berkata selepas kerajaan mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran pelbagai jenis saman, IPD itu menerima bayaran kira-kira RM363,000 pada bulan November, dan menjelang Disember, jumlah saman yang dijelaskan adalah RM2.004 juta.
"Jumlah saman yang dikumpul pada bulan Januari tahun ini kira-kira RM831,000 dan bulan ini sehingga semalam, kita telah menerima bayaran saman sebanyak RM1.653 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Adzaman berkata sejak dua minggu lepas, kaunter bayaran dilanjutkan sehingga 6 petang berbanding pukul 5 petang sebelum ini, selain dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan orang ramai menjelaskan saman.
"Kita juga turut memasang khemah di luar kaunter bayaran saman, dan semalam kita memberi air minuman kepada pesalah trafik yang datang membayar saman kerana keadaan cuaca di sini sangat terik,” katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas





2011/02/28

TEMERLOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah melabelkan gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap kumpulan ekstrem.
"Saya tak kata Muslim Brotherhood (Ikhwan Muslimin) ini kumpulan pengganas. Saya kata Ikhwan Muslimin boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ekstremis, sebab ini (kumpulan pengganas adalah) pandangan umum terhadap Ikhwan Muslimin, bukan pandangan saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk FELDA Jengka 25, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Nasharudin dan Anwar berkata demikian sebagai merujuk satu laporan berita disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan Najib di Istanbul, Turki baru-baru ini yang mendakwa parti politik Ikhwan Muslimin terbabit dengan keganasan dan sifat ekstremis.

"Kalau mereka (gerakan itu) kata, bahawa mereka tak ada ideologi sedemikian rupa (ekstrem), mereka nak ambil bahagian ikut proses undang-undang, menghormati proses demokrasi, cintakan keamanan. Kita (Malaysia) tak ada masalah menerima mereka untuk bertanding pada pilihan raya.

"Lagipun ini bukan keputusan saya, ini keputusan yang perlu dibuat negara lain, negara masing-masing. Saya tak kata mereka ini golongan ekstremis,” katanya.
Berita Harian Online | Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas

Sewa tak masuk akal


Oleh Adli Shahar

2011/02/28


SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
Pemilik rumah DUN Kerdau ambil kesempatan naikkan harga

TEMERLOH: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau turut membawa rezeki terpijak kepada penduduk sekitar bandar ini kerana ada antara mereka yang menyewakan rumah atau premis perniagaan dengan harga tinggi hingga mencecah lebih RM20,000 bagi tempoh hanya dua minggu.

Keperluan mendesak khususnya di kalangan penyokong parti bertanding, selain kekurangan bilik hotel yang boleh ditempah, menjadikan permintaan terhadap rumah penduduk bagaikan pisang goreng panas.
Seorang penduduk bertindak sebagai orang tengah bagi mencari penyewa rumah ini, Ramli Yusuf, berkata kebanyakan penyewa premis itu membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, pemerhati dan pihak berkuasa, selain petugas media.
Ramli, 32, berkata, kebanyakan rumah teres biasa berdekatan kawasan Kerdau disewa dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 seunit, manakala di Temerloh pula, kadar sewanya rendah sedikit iaitu antara RM1,000 hingga RM5,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga penduduk berjaya menyewakan rumah banglo mereka kepada petugas parti hingga mencecah kira-kira RM21,000.

"Kadar sewa ini bagaikan durian runtuh kepada pemilik rumah sewa kerana kadar biasa rumah sewa di kawasan Kerdau hanya RM150 hingga RM250 sebulan, manakala di Temerloh pula hanya antara RM200 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jenis rumah.

"Disebabkan berlaku pilihan raya kecil dan permintaan untuk menyewa rumah adalah tinggi, pemilik rumah mampu memperoleh pendapatan luar biasa dan sewa diperoleh ini boleh menampung bayaran bulanan rumah mereka untuk jangka panjang.
"Paling mengejutkan, unit rumah kos rendah yang selama ini terbiar kosong di Kerdau tanpa sebarang kemudahan, turut dijadikan penginapan mereka yang terbabit dalam pilihan raya DUN Kerdau ini dengan sewa dikenakan RM5,000," katanya.

Ramli berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan panas bagi sewaan rumah ini adalah di kawasan Desa Murni, Ketumbit dan Rumpun Makmur di Kerdau kerana kedudukannya berdekatan dengan tempat berkempen.

"Kadar sewa ini seolah-olah satu bonus kepada masyarakat kawasan ini kerana kebanyakannya bekerja sebagai petani atau melakukan kerja kampung.

"Biasanya rumah yang disewa ini dijadikan rumah kedua oleh pemiliknya atau dibiarkan kosong begitu saja, malah ada pemilik rumah yang tinggal di situ sanggup mengosongkan kediaman dan tinggal bersama keluarga bagi membolehkan rumah mereka disewa.

"Saya mengakui harga ini tidak masuk akal tetapi disebabkan permintaan bagi premis tempat tinggal agak tinggi kali ini, pemilik rumah sewa masih berjaya mendapatkan penyewa," katanya.

Sementara itu, Sariman Jaafar,32, dari Desa Murni, Sanggang, berkata dia menyewakan rumahnya RM4,000 kepada sekumpulan belia bagi tempoh 10 hari.

Katanya, wang diperoleh itu akan digunakan bagi menampung kehidupan sekeluarga selepas ini.

"Kami mendapat rezeki tidak diduga dan disebabkan tawaran yang menarik, saya dan isteri sanggup berpindah sementara tinggal di rumah abang berdekatan kawasan ini selama tempoh rumah itu disewa," katanya.

Rakannya, Zamri Mohamad Saaid, 31, pula menyewakan rumahnya dengan kadar RM5,500 bagi tempoh sama kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Saya akan menggunakan wang sewa diperoleh itu untuk memperbaiki rumah terutama bahagian pagar.

"Sekarang kami menumpang tinggal di rumah keluarga mentua dan bersyukur kerana kempen pilihan raya ini memberi rezeki tambahan kepada penduduk di sini," katanya.
Berita Harian Online

‘Air mata’ pokok petai


PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.
PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.


KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.
Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.

Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.

Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.

“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.


“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.

“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.

“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.

Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.

“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.
myMetro | ‘Air mata’ pokok petai

Lampu hijau 45,000 pekerja asing

Kosmo! Online - Negara: "
Kemakmuran ekonomi Malaysia menjadi daya tarikan kemasukan pekerja asing. - Gambar hiasan
Kemakmuran ekonomi Malaysia menjadi daya tarikan kemasukan pekerja asing. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju meluluskan kemasukan 45,000 pekerja asing, kebanyakannya dari India bagi memenuhi permintaan 13 sektor perniagaan kecil di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kelulusan itu dibuat selepas kerajaan melihat masalah yang dihadapi oleh sektor berkenaan seperti restoran, kedai runcit dan industri tekstil yang kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

'Mereka telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pihak saya melalui Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia di mana mereka minta kerajaan meluluskan 90,000 pekerja asing.

'Tapi selepas berbincang, buat sementara waktu ini kerajaan bersetuju untuk meluluskan kemasukan 45,000 pekerja,' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) oleh bekas presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu di sini semalam.

Subramaniam berkata, pekerja berkenaan akan diagihkan mengikut 13 sektor perniagaan terlibat yang dijangka dibuat dalam tempoh sebulan."

Lagi pasaraya yahudi dibuka di Malaysia


Tesco baru Nilai dibuka


ORANG ramai menyerbu Tesco Bandar Baru Nilai yang mula dibuka kepada orang ramai semalam.


NILAI - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) di Bandar Baru Nilai di sini diserbu orang ramai sempena pembukaan pasar raya besar itu semalam.
Orang ramai mula mengunjungi pasar raya itu seawal pukul 9 pagi bagi mendapatkan pelbagai produk yang menawarkan harga menarik.
Seorang pelanggan, Suhaimi Yusuf berkata, dia datang bersama keluarganya kerana mahu membeli pelbagai barangan yang dijual pada harga istimewa.
Katanya, dengan pembukaan Tesco ini, dia tidak perlu pergi ke cawangan Tesco Extra Seremban 2 untuk membeli barangan keperluan harian.
"Saya sebelum ini pergi ke Tesco Extra Seremban 2 untuk membeli barangan keperluan tetapi sekarang, saya tidak perlu pergi jauh untuk tujuan itu.
Kosmo! Online - Negara

Restoran jual aiskrim susu wanita




SEORANG pelayan menuang susu badan ke dalam aiskrim di sebuah restoran di Covent Garden, London baru-baru ini.


LONDON - Sebuah restoran di sini menjual aiskrim yang diperbuat daripada susu badan wanita, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Restoran tersebut yang terletak di Covent Garden menjual ais krim pelbagai perasa itu pada harga £14 (RM68.86) dan diberi nama Baby Gaga.
Pihak pengurusan aiskrim itu kini mencari lebih ramai wanita untuk membekalkan susu badan dan diberikan upah untuk tujuan tersebut.
Wanita yang mengeluarkan susu badan sebanyak 283.49 gram akan diberikan wang sebanyak £15 (RM73.77).
Salah seorang pembekal susu itu, Victoria Hiley, 35, dari Leeds menyatakan dia pada mulanya melihat iklan yang menyatakan bayaran akan diberi kepada wanita yang boleh membekalkan susu badan.
"Saya ketawa (apabila melihat iklan itu)," katanya.
Menurutnya, jika golongan dewasa mengetahui betapa sedapnya rasa susu badan, ibu-ibu yang baru melahirkan anak akan lebih bersedia untuk menyusukan anak.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bintang bola jutawan rayu jangan disaman




SAMUEL ETO merayu di depan seorang kakitangan trafik wanita supaya dia tidak disaman di Milan baru-baru ini.


MILAN - Seorang bintang bola sepak dari Cameroon yang bermain untuk kelab bola sepak Inter Milan dan memperoleh bayaran RM297,998 (RM909,939) seminggu merayu tidak disaman sebanyak AS$51.54 (RM157.37) kerana kesilapan meletakkan kereta, lapor sebuah akhbar semalam.
Samuel Eto merayu supaya dia tidak disaman tetapi permintaannya tidak dipedulikan oleh seorang kakitangan trafik wanita di sini baru-baru ini.
Eto amat kecewa dengan saman itu walaupun nilainya dalam dunia bola sepak dianggarkan jutaan dolar.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Berlian yang tidak diketahui nilai dipamerkan




BERLIAN Cora Sun Drop kini dipamerkan di Muzium Semula Jadi di London.


LONDON - Sebutir berlian sebesar ibu jari orang dewasa yang harganya tidak dapat ditentukan kerana ia amat jarang ditemui kini dipamerkan di Muzium Semula Jadi London, lapor sebuah akhbar semalam.
Berlian itu yang diberi nama Cora Sun Drop dipamerkan setelah ia dipinjamkan daripada syarikat Cora International.
Kurator muzium itu, Alan Hart berkata, dia tidak pernah melihat berlian berwarna kuning seperti itu yang amat bercahaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cora International, Suzette Gomes, berlian yang berwarna itu amat sukar dihasilkan kerana ia melibatkan kerja-kerja pemotongan yang rumit. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pelacur iklankan perkhidmatan di Facebook




LAMAN seorang pelacur yang dikenali sebagai Molly Ravish di laman sosial Facebook.


NEW YORK - Pelacur-pelacur di sini mengiklan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook, lapor akhbar New York Daily News semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang ahli sosialogi Universiti Colombia, Sudhir Venkatesh yang melakukan satu kajian terhadap 290 pekerja seks.
Menurutnya, 83 peratus daripada pekerja itu didapati bergantung kepada Facebook untuk menggoda lelaki bagi menjadi pelanggan mereka.
Salah seorang pelacur yang mengiklankan perkhidmatan mereka di laman tersebut dikenali sebagai Molly Ravish.
Ravish menyatakan dalam laman itu bahawa dia merupakan seorang teman wanita yang berpengalaman.
Dalam laman itu, dia meminta pengguna Facebook untuk mengunjungi laman webnya untuk mengetahui perkhidmatan yang ditawarkannya.
Dalam laman webnya, dia menawarkan perkhidmatan selama satu jam dengan kadar bayaran AS$200 (RM610) dan AS$150 (RM458) untuk seks oral. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Sunday, February 27, 2011

Gempa di Christchurch mungkin terburuk di NZ

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand, Encik John Key, semalam berkata gempa bumi di Christchurch mungkin menjadi bencana alam paling teruk dialami negara itu.
Ini sedang para pegawai New Zealand mendedahkan bahawa perangkaan kematian menyusuli gempa itu semalam meningkat kepada 145 orang, dengan lebih 200 dilaporkan masih hilang.Para jurutera dan perancang bandar berkata kawasan pusat bandar yang musnah itu mungkin sukar dipulihkan buat berbulan-bulan lamanya.Sekurang-kurangnya sepertiga bangunan perlu dirobohkan dan dibina semula selepas mengalami gempa sekuat 6.3 pada skala Richter, Selasa lalu.Sementara itu, di bahagian luar daerah pusat itu, Encik Brent Smith hanya dapat melihat dengan linangan air mata sedang para pekerja merobohkan bangunan era 1850-an, tempat beliau tinggal.Di sana juga beliau mengendalikan perniagaan motelnya dan menjual jag-jag antiknya, manakala katil era Victoria berharga AS$6,000 ($7,695) beliau kini menjadi abu.Sementara itu, Encik Key berkata pemerintah New Zealand akan mengumumkan satu pakej bantuan untuk 50,000 penduduk yang tidak akan bekerja berbulan lamanya akibat penutupan bandar Christchurch.Semalam, beliau menemui keluarga-keluarga yang kehilangan anggota tersayang dan menggesa diadakan dua minit masa berkabung lusa.'Ini mungkin satu peristiwa paling tragik di New Zealand,' kata Encik Key.Perangkaan kematian meningkat kepada 145 orang selepas beberapa lagi mayat dikeluarkan daripada runtuhan, kata Superintenden polis, Encik David Cliff. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Hidup dan mati di Libya




TRIPOLI - Keluarga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menegaskan akan terus berada di negara itu dan tidak akan membenarkan 'sekumpulan pengganas' mengambil alih tampuk pemerintahan.

Anak lelaki Gaddafi, Saif Al-Islam berkata, bapa dan keluarganya akan hidup dan mati di negara itu walaupun berhadapan dengan pergolakan yang semakin meruncing.

"Kami mempunyai tiga rancangan (untuk menghadapi protes). Ketiga-tiganya adalah untuk hidup dan mati di Libya," katanya, kelmarin.

Kedudukan Gaddafi semakin terancam apabila penunjuk perasaan antikerajaan dilaporkan berjaya merampas beberapa wilayah di Libya dalam protes menentang pemerintahannya selama 42 tahun.

Gaddafi muncul di Dataran Hijau, Tripoli malam kelmarin bagi menyampaikan ucapan kepada penyokongnya dan menuntut mereka bertempur dengan aktivis prodemokrasi yang menentangnya.

Lebih 1,000 penunjuk perasaan di Libya dilaporkan terbunuh sejak protes bermula, 16 Februari lalu, iaitu angka korban tertinggi setakat ini dalam revolusi Timur Tengah.
SH

Berat mata memandang




MERSING - Sukar menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh seorang ibu apabila anaknya mengalami kesukaran untuk minum setelah disahkan mengalami sumbing.

Kunjungan Sinar Harian ke rumah suri rumah berkenaan mendapati, bayi malang berkenaan terpaksa menggunakan botol meskipun masih terlalu awal untuk menggunakannya demi mengisi perut.

Siti Jumanah Marjuki, 41, berkata, anak lelakinya, Mohamad Faiz Irfan Rozali disahkan mengalami sumbing sejak kelahiran kira-kira dua minggu lalu dan agak terkejut apabila diberitahu doktor bahawa bayi lelakinya sumbing di beberapa bahagian iaitu hidung, mulut dan gusi.

“Selepas melahirkannya, jururawat datang dan menunjukkan Mohamad Faiz Irfan kepada saya, namun disebabkan terlalu terkejut, saya pengsan. Bagaimanapun, selang tiga hari, hati saya tenang kerana dapat menerimanya dan menyusukannya.

“Pada mulanya, memang agak sukar saya untuk menerima semua ini, namun semua adalah suratan Ilahi, kami menerimanya dengan hati redha,” katanya yang ditemani suaminya, Rozali Abdul Rahman, 54.

Siti Jumanah berkata, sepanjang mengandungkan Mohamad Faiz Irfan dan setiap pemeriksaan kandu­ngan, doktor memberitahu tiada sebarang masalah kepada bayi berkenaan.

Katanya, bayi lelakinya yang berusia hampir dua minggu itu kini terpaksa bergantung kepada botol susu kerana tidak dapat menyusu secara normal seperti bayi lain.

“Mohamad Faiz Irfan terpaksa diberi susu dengan berhati-hati kerana jikalau tidak diberi susu dengan baik, dia akan tersedak kerana salur pernafasannya agak sempit dan tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehingga kini, Mohamad Faiz Irfan terpaksa menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Kuantan dan terpaksa dibawa ke hospital seminggu sekali untuk pemeriksaan.

Menurut Siti Jumanah, mungkin bayi lelakinya itu terpaksa dibedah, namun tarikh tepat masih belum diketahui.

“Doktor ada memberitahu, pembedahan bagi merawat kecacatan sumbing sudah tercatat dalam sejarah kejayaannya dan saya juga berharap agar pembedahan anak nanti akan turut berjaya.

“Saya turut mengakui bimbang dengan masa depan Mohamad Faiz Irfan sean­dainya tidak dibedah dan juga berharap agar ada pihak tampil untuk memberi sumbangan bagi menampung kos peru­batan anaknya itu.

“Melihat anak lelaki saya, kadang-kadang terfikir nasib anak lelaki ini apabila mungkin berdepan risiko pembedahan yang kemungkinan pekak dan percakapan tidak jelas.

“Bagaimana nak menang­gung kos pembedahan dan rawatan susulan sedangkan saya tidak bekerja. Jika sebelum ini, saya ada bekerja di kantin sekolah, namun disebabkan keadaan anak yang mahu penjagaan rapi, saya tidak dapat lagi bekerja,” katanya sayu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat dan sumbangan, boleh menghubungi keluarga ini di talian 017-7040341 atau di alamat 204 Blok J, Skim Perumahan Kos Rendah (SPKR) Felda Endau, 86900, Mersing.
SH

Khabar sedih ketika kempen





2011/02/27

pix_gal0
SENTUL: Luluh hati seorang suami apabila isterinya, Ong Ean Lee, 33, dan anak perempuan tunggalnya, Artina Lake Xin Yu, 2, (atas) ditemui mati di dalam sebuah bilik dipercayai sesak nafas akibat kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Taman Sri Sinar, di sini, pagi semalam.

Calven Loke Wai, 30-an, yang ketika itu sibuk berkempen dalam pilihan raya kecil di Merlimau, Melaka mendapat berita menyayatkan hati itu daripada jirannya yang membuat panggilan pada jam 6.30 pagi.
"Saya yang berada di Merlimau terus bergegas pulang dan sampai kira-kira jam 8 pagi," katanya yang kali terakhir bertemu isteri dan anaknya dalam jam 8 pagi, kelmarin sebelum keluar bekerja. Mayat isterinya ditemui di atas katil, manakala anaknya ditemui di tepi katil dalam bilik yang sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang dikatakan tinggal bersama anaknya sedang tidur, manakala, Calven yang juga Pengerusi sukarelawan bomba di Jinjang dan Setiausaha Pemuda parti Gerakan Rakyat Malaysia Kuala Lumpur, berada di Merlimau.

Difahamkan, bomba sukar memasuki kawasan berkenaan apabila palang besi di taman terbabit dalam keadaan berkunci. Malah, turut menjadi tanda tanya apabila pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang dipertanggungjawabkan memegang kunci palang besi berkenaan dikatakan menghilangkan diri.

Calven juga berkata sebaik urusan pengebumian selesai, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak keselamatan taman berkenaan yang mengakibatkan bomba gagal memadam kebakaran dengan cepat.

Kebakaran dikatakan bermula dari ruang tamu rumah teres terbabit sebelum merebak di bahagian dapur dan bilik menyebabkan mangsa dua beranak yang berada dalam sebuah bilik utama terperangkap dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri.
Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai A Anantha, 34, berkata beliau yang sedang tidur kira-kira jam 6 pagi itu terdengar satu letupan kuat, namun tidak mengendahkannya.

"Bagaimanapun, 10 minit kemudian, saya terhidu bau asap dan bergegas keluar dari rumah untuk memeriksa sebelum melihat kepulan asap dan api di rumah jirannya.

"Saya kemudian menghubungi bomba untuk bantuan, namun api yang marak terlalu cepat menyebabkan penduduk gagal menyelamatkan dua beranak itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Othman Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.05 minit pagi sebelum mengerahkan dua jentera dan 27 anggota dari balai Jinjang dan Kepong ke lokasi kejadian.

"Mayat dua beranak itu ditemui berada di dalam bilik utama sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Operasi memadam kebakaran mengambil masa selama 30 minit dan hampir 80 peratus kediaman dua tingkat itu musnah dijilat api. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Berita Harian Online

Bakal Ratu Cantik Amerika diusir






DENVER, Amerika Syarikat (AS) 26 Feb. - Calon Miss USA mempunyai cerita sedih tersendiri walaupun dia baru sahaja donobatkan sebagai Ratu Colorado.
Blair Griffith (gambar) kehilangan rumah tempat berteduh hanya beberapa bulan selepas dia dimahkotakan sebagai Ratu Colorado.
Griffith, 23, yang dijadual menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA pada 19 Jun ini, diusir bersama-sama ibunya dari rumah mereka pada November lepas.
Dua beranak itu kini menumpang di rumah seorang sahabat keluarga.
Gadis itu juga dijadual kehilangan pekerjaannya di Saks Fifth Avenue apabila cawangan tempat dia bekerja ditutup terus pada bulan depan.
Walaupun dianugerahi kecantikan, Griffith kerap ditimpa kesusahan dalam kehidupannya, termasuk kematian bapanya akibat kanser semasa dia masih kanak-kanak, dan serangan sakit jantung yang dialami oleh ibunya beberapa tahun lalu.
"Kos pembedahan telah banyak menjejaskan kewangan keluarga," jelas gadis itu dalam satu wawancara, baru-baru ini.
Griffith berkata, dia melihat nasib malang yang menimpanya sebagai satu ujian untuk melihat sama ada dia dapat menangani dan mengatasinya.
Sejak beberapa bulan lalu, dia telah membincangkan keadaan hidupnya secara terbuka apabila berucap di sekolah dan acara tertentu.
Pagi semalam, Griffith muncul pada rancangan NBC, Today dan menjelaskan dia tidak menyedari dia dan ibunya akan diusir sehinggalah polis mengetuk pintu rumah mereka.
"Saya tidak ada tempat untuk mengadu mengenai segala perkara yang berlaku dalam kehidupan saya.
"Begitu ramai orang lain yang mengharungi situasi serupa dan saya berharap untuk menjadi inspirasi kepada mereka," katanya kepada Denver 9News. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Keluarga pelajar hidap leukemia mohon bantuan




KAMALIA Kamaruzzaman (tengah) diberikan kata-kata semangat oleh Siti Mahfuzah Mohd. Bakin dan Kamaruzzaman Sulaiman di rumah mereka di Sungai Tiang Darat, Bagan Datoh, Perak, semalam. - mingguan/Ainsafre Bidin


BAGAN DATOH 26 Feb. - Keluarga Kamalia Kamaruzzaman, 16, yang menderita penyakit leukemia sejak tahun lalu, merayu bantuan orang ramai untuk menanggung kos rawatannya.
Menurut bapa Kamalia, Kamaruzzaman Sulaiman, 44, sejak menghidap penyakit itu, seluruh anggota badan anaknya lemah.
"Rambut Kamalia sering gugur dan hidung serta mulutnya juga kerap berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Tiang Darat, Selekoh dekat sini, hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, dia memerlukan RM700 sebulan untuk perbelanjaan rawatan ubat anaknya.
"Saya orang susah dengan berniaga menjual nasi campur di gerai tepi jalan dan pendapatan RM600 sebulan.
"Hasil pendapatan itu digunakan untuk menanggung tujuh orang anak masih bersekolah dan ia tidak mencukupi," katanya sambil menambah sejak anaknya sakit, pendapatannya terjejas kerana tidak dapat berniaga.
Beliau pernah mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih belum mendapat jawapan.
Sehubungan itu, Kamaruzzaman berkata, dia merayu mana-mana pihak untuk membantu meringankan bebannya mengubati penyakit leukemia yang dihadapi anaknya.
Ibu Kamalia, Siti Mahfuzah Mohd. Bakin, 40, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memerlukan perhatian dan bantuan bagi merawat penyakitnya itu.
"Saya sedih apabila melihat Kamalia sering menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya," ujarnya.
Sementara itu, Kamalia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Razak, Selekoh berkata, setiap hari dia menangis kerana tidak mampu menahan kesakitan.
"Saya menangis kerana tidak mahu mati sebaliknya mahu terus menolong ibu bapa saya.
"Saya sering berdoa memohon supaya Allah dapat menyembuhkan penyakit saya bagi membolehkan saya berbakti kepada orang tua saya," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Gaji 32 pramugari belum dibayar



Oleh Nadia Hamid
nnadia@bharian.com,my
2011/02/27

Syarikat penerbangan Alwafeer Air masih gagal bayar tuntutan empat bulan

KUALA LUMPUR: Kumpulan 32 pramugari Malaysia yang terkandas di Jeddah menunggu bayaran tunggakan gaji oleh majikan mereka, syarikat penerbangan berpangkalan di Arab Saudi, Alwafeer Air dijangka pulang ke tanah air selewat-lewatnya akhir minggu depan.
Mereka masih belum menerima sebarang bayaran tunggakan gaji selama empat bulan selepas pemberian sagu hati 1,500 riyal (RM1,200), Januari lalu.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata kumpulan pramugari berkenaan terdesak untuk kembali ke Malaysia berikutan sudah muak dengan janji syarikat yang mahu membayar gaji mereka selain tiada duit untuk berbelanja.

“Sebelum ini syarikat itu berjanji membayar sekurang-kurangnya separuh daripada gaji tertunggak sebanyak 10,000 Riyal (RM8,077) kepada setiap pramugari itu, tetapi tidak menepatinya.

“Kami faham situasi mereka yang mengalami masalah kewangan kritikal, namun akan terus berbincang dan mendesak syarikat penerbangan berkenaan menanggung kos penghantaran pulang kumpulan pramugari ini serta membayar tuntutan penuh gaji dan elaun sebanyak 20,000 riyal (RM16,154),” katanya kepada Berita Minggu.

Seorang pramugari, Lenny Fariha Hazree, 24, memberitahu serik dan tidak mahu lagi bekerja dengan syarikat di luar negara sebaliknya akan mencari pekerjaan bersesuaian kelulusannya di tanah air.
Ibunya, Rosmawati Ahmad memberitahu Lenny Fariha ada menghubunginya, baru-baru ini dan memaklumkan bakal pulang ke tanah air selewat-lewatnya dalam minggu depan.

“Ina (Lenny) sudah mencari kerja di Malaysia menerusi sistem online dan akan pulang menjalani hidup seperti sedia kala. Tiada apa lagi yang mahu ditunggu di sana (Jeddah) selain mengerjakan umrah,” katanya.

Bapa kepada seorang lagi pramugari, Mohd Nawi Hamzah bersetuju anaknya, Nor Amira, 25, dibawa pulang ke Malaysia dengan segera untuk bekerja di negara sendiri.
Berita Harian Online | Gaji 32 pramugari belum dibayar

Sudah lama berminat


DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.
DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.


KUALA LUMPUR: “Jangan salah sangka kerana saya tidak memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki Melayu. Saya sudah lama terdedah kepada agama ini dan kerana keindahannya, saya tertarik untuk menjadi seorang Muslimah,” kata pelakon dan personaliti terkenal, Daphne Eleanor Iking.
Sebelum ini, gosip mengenai bintang filem Belukar berusia 32 tahun itu memeluk Islam menjadi tajuk hangat di laman web hiburan tempatan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Daphne menjelaskan kepada media, dia memeluk Islam awal bulan lalu selepas mempelajari selok- belok agama itu, Disember lalu.

“Selepas memeluk agama Islam, saya membuat keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan hati, iaitu Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe. Majlis resepsi dilakukan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah 8 Januari lalu.

“Majlis perkahwinan itu hanya dilakukan kecil-kecilan. Bagi saya, tidak perlu mengadakan majlis besar- besaran kerana yang penting adalah keutuhan rumah tangga berkenaan dan bukan majlis perkahwinan,” katanya, semalam.

Menurut Daphne, dia dan Joe adalah rakan kongsi dalam perniagaan.


Katanya, sejak mengenali hati budi masing-masing, mereka tertarik antara satu sama lain dan membuat keputusan menamatkan hubungan yang terjalin ke jenjang pelamin.

“Suami saya bersikap rendah diri dan tidak mahu terlalu menonjol di khalayak ramai mahupun media. Malah, saya mencintainya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang,” katanya.myMetroSudah lama berminat

BN berentap lawan Pas di Kerdau, Merlimau




ROSLAN (kanan) dan Yuhaizad selepas penamaan calon di Merlimau semalam.


KUALA LUMPUR - Seperti yang dijangka, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau di Pahang dan DUN Merlimau di Melaka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu akan diadakan serentak pada 6 Mac ini.
Bagi DUN Kerdau, BN diwakili oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala Pas diwakili oleh Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim, 43.
Bagi DUN Merlimau, BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, manakala Pas pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38.
Pegawai pengurus pilihan raya kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan calon yang akan bertanding di Dewan Tun Razak Majlis Perbandaran Temerloh kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut Tarif, terdapat satu bantahan diterima tetapi telah ditolak.
DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lalu.
Di Merlimau, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff mengumumkan nama kedua-dua calon yang bertanding pada pukul 11.28 pagi selepas setengah jam tempoh bantahan.
Roslan menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.07 pagi manakala Yuhaizad menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi.
Kosmo! Online - Negara

Siti Sarah-Shuib Sepah selamat diijabkabul



SITI SARAH dan Shuib bergambar selepas 
diijabkabulkan di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas bertunang secara diam-diam pada 16 November tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisudin, 27, dan pelawak kumpulan Sepah, Shahmira Mohamed, 27, atau Shuib akhirnya selamat diijabkabulkan semalam.
Siti Sarah dinikahkan sendiri oleh bapanya Raisudin Hamzah sambil disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir.
Pasangan itu yang ditemui sejurus majlis akad nikah selesai tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur untuk menjalani kehidupan berumahtangga selepas lebih setahun bercinta.
"Saya bersyukur apabila bertemu dengan lelaki yang benar-benar memahami diri saya dan bertanggungjawab. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi isteri yang terbaik.
-kosmo

Saturday, February 26, 2011

Presiden Yaman arah bentuk panel runding dengan pemberontak

SANAA (Yaman): Presiden Yaman kelmarin memerintahkan pembentukan sebuah jawatankuasa pemerintah bagi membuka rundingan dengan pemberontak yang mengadakan tunjuk perasaan berminggu- minggu menuntut beliau meletakkan jawatan, lapor media negara itu.
Arahan Presiden Ali Abdullah Saleh itu dilihat sebagai satu kelonggaran ketara dalam menghadapi pertelingkahan dengan pembangkang.Ia juga bagi meredakan bantahan di Yaman berikutan kejayaan gerakan serupa yang diadakan di Mesir dan Tunisia.Para pemberontak di Yaman, sebuah negara miskin yang mempunyai pemerintah pusat yang lemah dan didakwa menjadi satu cabang kuat militan Al-Qaeda, sedang menuntut Encik Saleh meletakkan jawatan setelah 32 tahun berkuasa.Encik Saleh, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, enggan meletak jawatan tetapi berkata beliau tidak akan bertanding bagi satu lagi penggal dalam pilihan raya negara itu pada 2013.Agensi berita utama Yaman, Saba, berkata Encik Saleh telah memerintahkan perdana menterinya agar mengetuai jawatankuasa lima anggota itu bagi 'mengadakan satu perbincangan yang terbuka dan membina dengan saudara-saudara muda, termasuk pemberontak... dan mendengar syarat-syarat dan wawasan mereka'.Namun, belum ada jawapan diperolehi daripada pembangkang.Saba juga melaporkan bahawa presiden dan pegawai-pegawai tinggi Yaman kelmarin telah berbincang mengenai ekonomi Yaman dan cara-cara menyelesaikan masalah pengangguran yang berlarutan.Kurangnya pekerjaan menjadi antara isu yang diajukan pemberontak.Bantahan antipemerintah telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 jiwa sejak krisis itu bermula hampir sebulan lalu.Awal kelmarin, para pegawai keselamatan berkata seorang maut dan dua lagi cedera apabila sebutir bom tangan dilontarkan ke arah penunjuk perasaan yang menuntut perpisahan dari Yaman Utara.Serangan itu berlaku di bandar selatan Lawdar pihak yang bertanggungjawab belum dapat dipastikan.Warga selatan yang menyertai perpaduan Yaman pada 1990 telah memulakan satu gerakan politik menuntut pemisahan sebab mendakwa mereka dipinggirkan. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Cerita suka duka terbit daripada gempa


TERUSKAN PERKAHWINAN: Cik Emma Howard dan Encik Chris Greenslade (tengah), bersorak gembira selepas melangsungkan perkahwinan mereka semalam, selang beberapa hari selepas Cik Howard diselamatkan daripada runtuhan bangunan Pyne Gould Corporation berikutan gempa bumi yang menggegarkan bandar Christchurch, di New Zealand, Selasa lalu. -- Foto AP


Seorang doktor terpaksa potong kaki mangsa gunakan pisau lipat dan gergaji


CANBERRA: Seorang ahli urologi Australia semalam memberitahu bagaimana beliau menggunakan mesin gergaji besi untuk memotong kededua kaki seorang lelaki yang terperangkap dalam runtuhan gempa bumi di Christchurch di New Zealand.
Dr Stuart Phillip, 38 tahun, adalah antara orang pertama yang bergegas ke tempat kejadian di bangunan Pyne Gould selepas gempa sekuat 6.3 pada skala Richter menggoncang bandar di pulau selatan New Zealand Selasa lalu.Dr Phillip, yang kini sudah pulang ke Australia, semalam berkata beliau menemui seorang lelaki yang tersepit kededua kakinya di bawah sebatang alang bumbung bangunan dan tidak boleh dipindahkan.Beliau dan beberapa lagi doktor, termasuk seorang pakar bius, memutuskan mereka tidak ada pilihan lain kecuali memotong kaki lelaki berkenaan.'Sebahagian besar daripadanya dilakukan dengan menggunakan mata pisau lipat dan mesin gergaji besi seorang pembina bangunan,' katanya kepada stesen radio ABC di Melbourne, Australia.'Ia bukan sesuatu yang mudah bagi kami sebagai pakar bedah. Tidak ada sesuatu pun yang mempersiapkan anda baginya,' kata beliau lagi.Mujur, mereka mempunyai bahan anestetik untuk menjalankan pembedahan itu sedang gegaran susulan terus berlaku.'Saya tidak pernah berasa takut sekali sepanjang hayat saya, tetapi saya teruskan,' ujarnya.Dr Phillip berkata lelaki berkenaan kini beransur pulih dan telah dikeluarkan daripada khidmat jagaan rapi, manakala keluarganya pula amat bersyukur.Sementara itu, di Christchurch, New Zealand, perangkaan rasmi kematian bertambah kepada 113 orang dan para pegawai berkata tiada seorang pun yang diselamatkan dalam keadaan masih bernyawa sejak operasi awal yang menyelamatkan 70 orang daripada bangunan-bangunan runtuh dalam tempoh 25 jam pertama selepas kejadian gempa Selasa lalu.Menteri Luar New Zealand, Encik Murray McCully, berkata fasa operasi menyelamat membabitkan ratusan polis, askar dan sukarelawan lain hampir selesai dan beliau bersedia menyampaikan 'berita yang paling buruk' kepada keluarga mangsa dari beberapa negara.Dalam satu perkembangan agak lebih menggembirakan pula, seorang wanita yang diselamatkan daripada kawasan gempa beberapa hari lalu semalam meneruskan acara perkahwinannya dengan teman lelakinya.Cik Emma Howard, yang diselamatkan Selasa lalu daripada bangunan pejabatnya di Christchurch, berkahwin dengan Encik Chris Greenslade.Cik Howard memberitahu stesen Radio New Zealand bahawa beliau menganggap perkahwinannya sebagai bukti bahawa bencana tidak akan dapat mematahkan semangat orang ramai. -- Agensi.Cyberita Online Luar Negara