myMetro
PULANGLAH...Pegawai Penyelaras DUN Bandar Maran, Ching Eu Boon bersama Nur Fatin menunjukkan gambar Rosnani (gambar kecil). |
KLANG: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bukan saja terpaksa menahan sedih terpisah daripada ibu kandung, malah sering bertukar ganti ibu angkat yang tidak sah di sisi undang-undang selama beberapa tahun.
Selepas enam tahun hidup terpisah ibu kandung, kini Nur Fatin Nadira Abdullah mencari ibu kandungnya dan mula bersekolah semula seperti remaja lain.
Masalah yang dihadapi Nur Fatin Nadira selama ini bukan saja kehilangan kasih sayang ibu kandung, tetapi juga ketiadaan sijil kelahiran dipercayai berada dalam simpanan ibu kandungnya.
Tanpa sijil berkenaan, gadis terbabit tidak boleh memohon MyKad, malah tidak boleh bersekolah atau menjadi anak angkat yang sah kepada mana-mana keluarga.
Kali terakhir Nur Fatin Nadira bertemu ibu kandungnya, Rosnani Hanifah, ketika berusia lapan tahun dan sering ditinggalkan di beberapa rumah jagaan kanak-kanak sebelum Rosnani hilang tanpa khabar berita.
Gadis itu yang dilahirkan pada 10 Oktober 1997 tidak dapat mengingati dengan jelas memori bersama Rosnani disebabkan faktor usianya yang masih kecil ketika itu dan Rosnani yang berusia awal 40-an kini sering ke luar bandar untuk jangka masa lama. Apatah lagi jika ingin mengingati bapa kandungnya yang tidak pernah bertemu.
“Selepas saya lahir, ibu tinggalkan saya pada kawannya, Zubaidah Nazrul. Dia minta supaya menjaga saya buat sementara waktu. Selepas itu, nenek (ibu angkat Rosnani) pula menjaga saya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan MCA Klang, di sini, semalam.
Nur Fatin Nadira pernah memasuki sekolah pada usia tujuh tahun, tetapi terpaksa berhenti sekolah selepas tiga bulan untuk membantu neneknya menjual makanan proses seperti ikan masin.
Takdir menyebelahi Nur Fatin Nadira apabila terserempak adik Zubaidah yang dikenali sebagai Saripuan yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat yang sah di sisi undang-undang. Nur Fatin Nadira ketika itu dilihat berkeliaran di tepi jalan sekitar Sungai Buloh.
Sementara itu, penjual sayur, Ker Poh Hong, 60, yang juga teman baik Zubaidah amat bersimpati melihat nasib Nur Fatin Nadira yang ditinggalkan sebatang kara dan Ker turut membantu menjaga remaja itu sekali-sekala.
Ker yang turut dipanggil dengan panggilan ‘nenek’ oleh Nur Fatin Nadira merayu Rosnani kembali untuk membantu anaknya itu meneruskan kehidupan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat Rosnani boleh menyalurkannya di Pusat Perkhidmatan MCA Klang dengan menghubungi Ching Eu Boon di talian 019-3109897 atau Ker di 016-2028298.
No comments:
Post a Comment