Saturday, March 12, 2011

Loji nuklear, loji minyak, lapangan terbang ditutup



RUMAH-RUMAH dibawa arus ke laut dan ada yang terbakar selepas tsunami dan gempa bumi melanda bandar Natori, Miyagi, Jepun, semalam. - REUTERS


TOKYO 11 Mac - Beberapa loji tenaga nuklear dan penapis minyak di Jepun ditutup hari ini dan sebuah kilang utama keluli terbakar selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan negara ini sehingga mencetuskan tsunami, merosakkan jalan dan memutuskan bekalan elektrik ke kediaman dan bangunan perniagaan.
Gergasi elektronik, Sony Corp, antara pengeksport terbesar di Jepun, menutup enam buah kilang, lapor agensi berita Kyodo, sementara jet tentera udara diterbangkan ke kawasan pantai di timur laut untuk meninjau tahap kerosakan akibat gempa bumi itu.
Bank of Japan yang telah bergelut untuk merangsang ekonomi yang lesu berjanji untuk berusaha sedaya upaya bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan berikutan kejatuhan mata wang yen dan pasaran saham Jepun.
"Terdapat kilang-kilang kereta dan semikonduktor di utara Jepun, kerana itu ekonomi sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan kerosakan kilang," kata pakar ekonomi di Institut Penyelidikan Mizuho di Tokyo, Yasuo Yamamoto.
Syarikat tenaga, Hokuriku Electric Co berkata, ketiga-tiga reaktor di loji nuklearnya di Onagawa, utara Jepun tutup secara automatik selepas gempa bumi itu tetapi tiada kebocoran nuklear dilaporkan.
JX Nippon Oil & Energy Corp menghentikan operasi di tiga loji penapis minyak di Sendai, Kashima dan Negishi, manakala Electric Power Development (J-Power) juga menutup operasi di loji kuasa haba di Yokohama, lapor Jiji News.
Stesen televisyen melaporkan satu kebakaran besar di loji penapis minyak Cosmo Oil Co. di Chiba, ke timur Tokyo.
Satu lagi kebakaran dilaporkan di kilang keluli JFE Holdings, juga di Chiba. JFE ialah pengeluar keluli kelima terbesar di dunia.
Dua buah lapangan terbang utama Jepun, Narita dan Haneda turut ditutup selepas gempa bumi kuat melanda negara ini, sekali gus menyebabkan keadaan huru-hara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
Selepas menyusut sedikit pada suku terakhir tahun lepas, ekonomi Jepun dijangka berkembang semula pada awal 2011 dengan peningkatan eksport dan pengeluaran industri, tetapi gempa bumi itu menimbulkan kemungkinan banyak sektor perniagaan utama terjejas teruk sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. - Reuters
-utusan

No comments:

Post a Comment