2011/03/12
SUSILO bersama isterinya, Kristiani Herawati melambai dari istana Presiden di Jakarta ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, tahun lalu.
JAKARTA: Indonesia semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah guna kuasa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang diperincikan oleh kabel sulit Amerika Syarikat dan diterbitkan akhbar Australia.Jakarta segera menghantar bantahan kepada Washington berhubung dakwaan yang dibuat oleh laman web pembocor maklumat WikiLeaks dan diterbitkan akhbar The Age dan The Sydney Morning Herald.
Berita itu mendakwa kedutaan Amerika di sini ragu dengan kewibawaan Presiden Indonesia itu.
“Maklumat terbabit tidak berasas dan tidak benar sama sekali,” kata Menteri Luar Marty Natalegawa pada satu sidang media di sini.
The Age melaporkan: “Sumber mengatakan Yudhoyono campur tangan dan mempengaruhi pendakwa raya dan hakim bagi melindungi individu politik terbabit rasuah dan memberi tekanan kepada penasihatnya.”
Beliau juga menggunakan “perkhidmatan perisikan Indonesia untuk mengintip lawan politik dan sekurang-kurangnya sekali ke atas seorang menteri kanan dalam kerajaannya”.
Natalegawa berkata Indonesia secara rasmi menghantar bantahan paling keras kepada Amerika semalam ketika pertemuan dengan Scot Marciel, duta Amerika.
“Pendedahan WikiLeaks amat tidak bertanggungjawab dan kami melahirkan kekesalan amat mendalam kepada Presiden Susilo dan rakyat Indonesia,” kata Marciel dalam sidang akhbar bersama di Kementerian Luar Indonesia, semalam.
Susilo adalah bekas jeneral tentera yang dipilih pada 2004 dan dipilih semula pada 2009 dengan janji beliau akan memerangi rasuah di Indonesia. – AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment