Saturday, March 12, 2011

'Kami berpaut pada tong gas elak terjatuh dalam makmal'

Berita Harian

2011/03/12


  • Foto
    ABDUL Latif bersama isterinya, Alfarina Mohd Mustafa yang menuntut di Universiti Hokaido.
  • Foto
    OMBAK besar menyebabkan air melimpah ke kawasan bandar pelabuhan Kamaishi.
Foto
OMBAK besar menyebabkan air melimpah ke kawasan bandar pelabuhan Kamaishi.
KUALA LUMPUR: “Saya dan seorang rakan terpaksa berpaut pada tong gas hidrogen di dalam makmal ketika gempa bumi berlaku untuk mengelak terjatuh ketika menjalankan penyelidikan di makmal,” kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Jepun (MSAJ) Wilayah Kanto, `Awadh Asyraf Supri menceritakan detik cemas dilaluinya dalam kejadian gempa bumi melanda Jepun, semalam.

Beliau yang juga pelajar tahun 4 Universiti Sains Tokyo berkata, walaupun Tokyo berada 400 kilometer (km) dari Miyagi yang menjadi pusat gempa bumi itu, gegaran kuat boleh dirasai di tempatnya belajar.
“Ketika gempa melanda, saya berada di dalam makmal sedang membuat penyelidikan bersama seorang rakan. Pada awalnya, gegaran dirasai agak lemah dan tidak menghiraukannya dan meneruskan kerja penyelidikan.
“Namun demikian, tidak lama kemudian, gegaran semakin kuat, bangunan dan peralatan makmal bergoyang menyebabkan kami terpaksa berpaut pada tong gas hidrogen untuk mengelak daripada terjatuh.

“Kami menyangka, gegaran kuat itu tidak lama tetapi sebaliknya ia semakin kuat lalu kami membuat keputusan untuk berlari keluar dari bangunan makmal bagi menyelamatkan diri. Gempa bumi kali ini luar biasa kerana kuat dan berlaku dalam tempoh yang lama,” katanya kepada wartawan Berita Harian menerusi Yahoo Messenger (YM), semalam.

Ketika ini, ada kira-kira 2,300 penuntut Malaysia belajar di Jepun namun mungkin ramai yang pulang ke Malaysia atau tidak berada di universiti kerana menghabiskan cuti semester selama dua bulan berakhir awal April ini.

Naib Pengerusi Kelab UMNO Jepun, Haris Bahrudin yang dihubungi menerusi laman sosial Facebook, berkata dia yang berada di Tokyo turut merasai gegaran yang menyebabkan sistem telekomunikasi di wilayah itu terputus.
Pelajar tahun empat Kejuruteraan Mekanikal di Tokyo Institute of Technology berkata, gegaran pertama selama 20 minit bermula kira-kira jam 2.50 petang waktu tempatan (1.50 petang waktu Malaysia) dan disusuli dengan beberapa gegaran.

“Setakat ini telefon tidak boleh digunakan dan saya yakin pelajar kita di Jepun selamat tetapi saya belum lagi mendengar berita mengenai kemalangan membabitkan pelajar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang jurutera di bandar Toyota, Aichi berhampiran Nagoya, Zia Ahmad, 29, berkata kawasan tempat kerjanya di syarikat Toyota turut mengalami gegaran selama dua minit tetapi tiada kerosakan teruk dilaporkan.

Bekas pelajar Toyohashi University of Technology yang berasal dari Kuching, Sarawak itu menyifatkan sesi latihan kecemasan yang sering dilakukan pengurusan syarikat amat berguna untuk membantu kakitangan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan sebarang tragedi.

Sementara itu, penuntut Universiti Hokaido, Abdul Latif Noh dari Kuching berkata, beliau merasakan gempa bumi semalam begitu kuat sehingga menyebabkan orang ramai menjadi bingung dengan kesan gegaran itu.

“Gegaran yang saya rasakan begitu kuat, sehingga guru saya kelihatan bingung selepas itu. Apa yang jelas lampu dan penghawa dingin yang digantung bergegar dan lama kelamaan semakin kuat dan ia berlarutan sehingga tiga minit,” katanya.

Naib Setiausaha MSAJ Wilayah Tohoku, Masyitah Khairil Anuar yang pulang bercuti di negara ini dimaklumkan rakannya yang berada di wilayah itu bahawa semua pelajar Malaysia selamat dan ditempatkan di pusat perlindungan.

Pelajar Universiti Tohoku itu sempat berhubung dengan seorang pelajar senior di universiti berkenaan sebelum talian terputus dan gagal dihubungi semula.

“Saya sendiri tak dapat bayangkan keadaan mereka, mereka kata jangan risau kerana mereka semua ditempatkan di satu tempat, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Saya hanya dimaklumkan keadaan pelajar Universiti Tohoku, keadaan dua lagi pelajar kita di universiti di Sendai belum diketahui,” katanya sambil menambah Universiti Tohoku menempatkan 42 pelajar Malaysia.

Sementara itu, penuntut Universiti Hokaido, Abdul Latif Noh dari Kuching berkata, beliau merasakan gempa bumi semalam begitu kuat sehingga menyebabkan orang ramai menjadi bingung dengan kesan gegaran itu.

“Gegaran yang saya rasakan begitu kuat, sehingga guru saya kelihatan bingung selepas itu. Apa yang jelas lampu dan penghawa dingin yang digantung bergegar dan lama kelamaan semakin kuat dan ia berlarutan sehingga tiga minit,” katanya.

INFO
Antara peristiwa tsunami



  • 1755: Tsunami memusnahkan Lisbon, Portugal dan mengorbankan kira-kira 60,000 orang.



  • 1883: Letupan gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda, Indonesia menyebabkan tsunami setinggi 35 meter dan mengorbankan 36,000 nyawa.



  • 1946: Gempa bumi berukuran 7.8 berhampiran Alaska, Amerika Syarikat menghasilkan ombak besar setinggi 35 meter dan membunuh 165 orang.



  • 1960: Gempa bumi paling besar dalam sejarah ( 9.5 skala Richter) di selatan perairan Chile menghasilkan tsunami di Lautan Pasifik dan membunuh lebih 3,000 orang di Chile dan Hawaii.



  • 1976: Tsunami melanda Filipina mengorbankan lebih 5,000 orang.



  • 1998: Gempa berukuran 7.0 skala Richter di perairan Papua New Guinea menghasilkan ombak setinggi 10 meter dan membunuh lebih 6,000 nyawa.



  • 2004: Gempa bumi besar menyebabkan tsunami dengan ketinggian ombak 35 meter dan mengorbankan lebih 250, 000 nyawa di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika. Acheh adalah antara negara paling teruk mengalami kemusnahan yang mengorbankan kira-kira 170,000 nyawa dan 500,000 kehilangan tempat tinggal.



  • 2006 - Gempa bumi menyebabkan tsunami di selatan pulau Jawa, Indonesia dengan ombak setinggi 21 meter di Pulau Nusakambangan dan mengorbankan 500 nyawa.



  • 2010 - Gempa bumi di Santiago, Chile menyebabkan tsunami. 521 nyawa terkorban.



  • 2010 - Letusan Gunung Merapi di Kepulauan Mentawai, meletus menyebabkan tsunami dan mengorbankan 446 nyawa.


  • No comments:

    Post a Comment