Sunday, April 3, 2011

Bantah Interlok: Ahli Parlimen Teluk Intan, aktivis ditahan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran, dan seorang aktivis, MS Arjunan, ditahan di perkarangan Kuil Subraminiyar di Batu Caves, dekat sini, hari ini ketika cuba mengadakan sidang media membantah novel Interlok.

Manogaran dan Arjunan dari Persatuan Progresif Pelajar Tamil Malaysia (MATSAP) hanya sempat mengadakan sidang media kira-kira lima minit sebelum ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, berkata mereka ditahan kerana tidak mengendahkan amaran polis supaya tidak mengadakan sidang media di situ yang juga tempat beribadat.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah bagi pencegahan daripada berkumpul.

Mereka kemudian dibebaskan kira-kira 3.30 petang tadi selepas polis merakamkan kenyataan mereka.

Sebelum ini, ada pihak tertentu cuba mengadakan demonstrasi membantah penggunaan novel Interlok sebagai komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima.

Novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, itu dikatakan mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangi oleh masyarakat India.
Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu. - BERNAMA"

No comments:

Post a Comment