Sunday, April 3, 2011

Perniagaan ikut syarak



ALIH BIDANG... pejabat Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang.
ALIH BIDANG... pejabat Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang.

FITNAH... Akhil Hayy dituduh menipu.
FITNAH... Akhil Hayy dituduh menipu.




KUALA LUMPUR: “Ana cari makan cara halal, kenapa harus ada pihak yang cuba menidakkan atau memfitnahnya? Jika benar perniagaan yang dijalankan berunsurkan penipuan dan menyalahi hukum syarak, sila kemukakan bukti dan ana sedia bertanggungjawab.
“Memang tiada perkara atau benda yang akan membuatkan semua pihak berpuas hati, jadi tidak hairanlah jika apa saja yang ana lakukan, pasti ada yang tidak kena.

“Bagaimanapun, ingin ana tegaskan di sini, perniagaan yang baru ana mulakan ini tidak berasaskan perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM) seperti yang didakwa kerana kami lebih menitikberatkan perniagaan berteraskan 'trading' atau pemasaran satu tingkat (SLM),” kata artis dan penceramah bebas, Akhil Hayy.

Beliau diminta mengulas tohmahan yang dilemparkan terhadapnya melalui blog kononnya perniagaan yang dijalankannya berteraskan sistem piramid, malah menggunakan kredibiliti sebagai pendakwah untuk ‘cari makan’ dalam perniagaan MLM.


Antara kandungan blog yang mencercanya berbunyi: “Amende mamat kat atas ni angkat tangan macam Ayah Pin? Mintak murah rezeki daripada skim piramid yang dilancarkannya itu ke apa?”


Penyanyi nasyid itu dituduh menjalankan perniagaan membekal dan pengeluar produk minyak wangi dan produk kesihatan untuk orang Melayu yang ketinggalan zaman dan tidak berpelajaran. Dalam masa sama, dia juga didakwa menipu orang Melayu dengan skim piramid yang dilancarkan.

Ketika dihubungi Metro Ahad semalam, beliau berkata syarikatnya Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang pada mulanya hanya menjual produk kesihatan untuk kaki dan minyak wangi tetapi kini mula mengembangkan operasi dengan memperkenalkan pakej umrah dan haji selain urusan berkaitan insurans.

Metro Ahad yang cuba mendapatkan gambaran sebenar perniagaan penceramah bebas itu di pejabatnya di Kajang semalam mendapati pintu utama pejabatnya lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan dua tingkat itu berkunci kira-kira jam 3 petang.

Setakat ini, katanya, perniagaan yang dibuka secara rasmi 26 Ogos tahun lalu itu diuruskannya sendiri manakala isterinya, Waheeda sibuk dengan aktiviti dakwah.

“Buat masa ini, ana sendiri yang menguruskannya dengan dibantu beberapa kakitangan.

“Bukan dia langsung tidak membantu, tetapi tidak secara menyeluruh kerana ana tidak mahu membebankannya,” kata bekas vokalis kumpulan D’riyadh itu.

Dia yang dihubungi dari Pulau Pinang menganggap dakwaan itu tidak berasas dan sengaja ditimbulkan oleh golongan tertentu yang kurang senang dengan kejayaannya.

Menurut Akhil, dia kecewa apabila ada pihak yang bukan saja mempertikaikan perniagaannya, malah mendakwa gambar pada papan iklannya seakan-akan memohon bantuan daripada Ayah Pin.

“Siapakah dia (Ayah Pin) untuk ana minta pertolongan? Mungkin orang yang memfitnah ana itu lebih kenal Ayah Pin daripada ana kerana tahu cara dan gaya ketua ajaran sesat berkenaan,” katanya berseloroh.

Katanya, jika dia menjalankan perniagaan secara haram, mustahil untuknya mendaftarkan perniagaan dan mempromosikannya melalui laman web.

“Ana bukan bodoh untuk berbuat demikian, malah sebelum memulakan perniagaan, ana sudah berbincang dengan beberapa ulama dan pakar agama bagi mengetahui sama ada perniagaan yang dilakukan ini menyalahi syarak atau tidak.

“Memang ada MLM yang menyalahi (syarak) tetapi bukan perniagaan seperti yang ana uruskan ini,” katanya.

Bukan saja sebagai ahli perniagaan tetapi juga sebagai pendakwah, dia turut dikutuk apabila pihak tertentu mendakwa dia tidak mendapat tauliah untuk berbuat demikian.

“Mungkin ramai tidak tahu ana mendapat tauliah daripada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan kini dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya yang bakal menunaikan umrah bersama isteri, Mawi dan Ikin 8 April ini.

Ditanya sama ada beliau dan Waheeda kini bersiap sedia untuk menerima ‘orang baru’, beliau berkata: “Kami hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan, jadi ana tumpukan perhatian kepada anak ana dan perniagaan yang dijalankan itu.”
myMetroPerniagaan ikut syarak

No comments:

Post a Comment