Wednesday, April 6, 2011

'Biar nampak hodoh daripada tanggung sakit'




pix_gal0
TANAH MERAH: "Saya lebih rela dengan wajah begini daripada melakukan pembedahan plastik. Saya tidak sanggup kerana tak tahan kesakitan selepas pembedahan.

“Kesakitan sepanjang menjalani rawatan sudah cukup menyeksakan. Saya tidak mahu mengalaminya lagi,” kata mangsa simbahan asid, Tuan Azman Tuan Ludin.
Beliau yang cedera selepas disimbah asid oleh bekas isterinya, seorang warga Thailand pada 2005 kini menjalani kehidupan sama seperti orang lain bersama isterinya, Noraimi Saimina Ghazali, 27, dan anak tunggalnya hasil perkahwinan pertama, Tuan Nur Safida, 16, di Kampung Batang Bergedik, dekat sini.
"Saya dapat rasakan kesakitan itu meskipun tidak melakukan pembedahan plastik. Kesakitan lalu sepanjang menerima rawatan itu pun sudah sangat memeritkan, sebab itu saya tak sanggup nak hadapinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Tuan Azman melecur 90 peratus di tubuhnya selepas disimbah cuka getah oleh isterinya, Siti Khalifah Sulung (ketika kejadian berusia 52 tahun dan masih suami isteri).

Turut dilaporkan, Siti Khalifah dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku salah di atas pertuduhan pindaan, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada bekas suaminya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tuan Azman berkata, meskipun kecederaan dialami akibat simbahan asid berkenaan pada bahagian badan, muka dan tangan itu sudah sembuh, namun kesan parutnya serba sedikit ada menjejaskan keupayaannya termasuklah pandangannya yang kabur pada mata sebelah kiri.
"Memang sudah sembuh, tetapi parut yang terdapat pada bahagian muka dan leher menjadikan kulit menjadi tegang kesan simbahan asid berkenaan, oleh itu, kalau nak berpaling (menoleh) pun agak terbatas, malah mata kini kabur dan tidak tahan silau.

"Malah kalau nak berenang pun tidak boleh sebab parut yang ada di muka dan leher membuatkan kulit tegang... terhad untuk memalingkan (menoleh) muka dan mendongak, saya pernah cuba (berenang) tetapi memang tak boleh," katanya.

Selain itu, Tuan Azman berkata, selepas berhenti menjadi pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Gual Ipoh, dekat sini, dia kini memajak kebun getah kira-kira dua hektar dan menjadi penoreh getah untuk menyara kehidupan bersama keluarga.

Katanya, dia bersyukur dengan pendapatannya sekarang sebagai penoreh getah kerana harga getah yang lumayan serba sedikit mampu memberikan keselesaan kepada mereka sekeluarga.

"Kebun itu terletak kira-kira 15 minit dari rumah dan selalunya saya pergi dengan menaiki motosikal, biasanya saya bekerja seawal jam 7 pagi dan habis empat jam berikutnya.

"Alhamdulillah pendapatan bersih boleh mencecah antara RM500 hingga RM600 seminggu selepas dibahagi dua dengan pemilik kebun memandangkan harga getah sekarang RM6.50 sekilogram," katanya yang masih menyimpan harapan untuk memiliki anak bersama isterinya sekarang.
Berita Harian Online | 'Biar nampak hodoh daripada tanggung sakit'

No comments:

Post a Comment