Wednesday, April 6, 2011

Budak ditemui semula selepas 20 jam hilang


  MOHD NAWAWI   mengucup pipi   Nur Hafiqah Zarissya   selepas dipulangkan pasangan suami isteri, semalam.
MOHD NAWAWI mengucup pipi Nur Hafiqah Zarissya selepas dipulangkan pasangan suami isteri, semalam.


KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan yang dilaporkan hilang ketika bermain di depan premis menjual telefon milik ibunya di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, di sini petang kelmarin ditemui semula kira-kira 20 jam selepas kehilangannya.


Mangsa, Nur Hafiqah Zarissya Mohd Nawawi dipulangkan semula sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an selepas laporan mengenai kehilangan mangsa disiarkan di televisyen.
Pasangan berkenaan bertindak menghubungi premis menjual telefon milik ibu mangsa dan memaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat sebelum mengatur pertemuan untuk memulangkannya di Taman Gudang Rasau Perdana, di sini kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Mereka dikatakan melihat kanak-kanak terbabit bermain seorang diri di kaki lima premis terbabit kira-kira jam 7.30 malam sebelum mengambilnya dan membawa pulang ke Temerloh.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata sebaik melihat berita mengenai kehilangan kanak-kanak itu disiarkan di televisyen, pasangan berkenaan menghubungi ibu mangsa kira-kira jam 1.45 tengah hari untuk memulangkan kanak-kanak itu.


“Mangsa dipulangkan dalam keadaan sihat dan bapa mangsa kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk membuat laporan mengenai penemuan semula anaknya.


“Polis turut meminta kerjasama pasangan suami isteri terbabit untuk tampil ke IPD di sini bagi memberi keterangan membantu siasatan kes," katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Sementara itu, kakak ipar mangsa, Norshatila Shamsuddin, 23, berkata pasangan suami isteri terbabit memaklumkan mereka tidak berniat untuk melarikan Nur Hafiqah sebaliknya kasihan apabila melihatnya bermain seorang diri.


“Mereka mengambil Nur Hafiqah selepas menyangkanya sesat dan pasangan terbabit turut memaklumkan mahu memulangkan semula Nur Hafiqah beberapa jam kemudian dengan datang semula ke premis itu, namun sebaik melihat ramai orang di depan premis, mereka menjadi takut lalu bertindak pulang semula ke Temerloh.


"Mereka turut memohon maaf kepada keluarga selain memaklumkan turut memandikan serta menukar pakaian anak bongsu itu daripada lima beradik,” katanya. Berita Harian Online | Budak ditemui semula selepas 20 jam hilang

No comments:

Post a Comment