Wednesday, April 6, 2011

Kempen Obama RM3.02 bilion


BARACK OBAMA berjalan menuju ke sebuah kereta di Washington D.C pada Ahad lalu untuk bermain golf.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin secara rasminya mengumumkan beliau akan bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya 2012 dengan dana AS$1 bilion (RM3.02 bilion) akan digunakan bagi berkempen, lapor sebuah akhbar semalam.
Obama membuat pengumuman tersebut melalui emel dan rakaman video yang dihantar kepada para penyokong secara dalam talian.
Mengulas mengenai bajet kempen politik 2012 Obama, seorang pengarah firma perunding AS, Michael Malbin berkata, walaupun bajet yang diperlukan untuk kempen pilihan raya kali agak besar, jumlah itu bukan sesuatu yang mustahil.
"Dana tersebut tidak sukar kerana dalam kempen pilihan raya 2008, dana yang dikumpulkan oleh Obama mencecah AS$750 juta (RM2.2 bilion) ," katanya.
Pada pilihan raya kali ini, Obama akan mengekalkan dasar pentadbirannya yang sedia ada di samping berjanji akan menangani beberapa isu penting seperti pembangunan tenaga dan reformasi dalam sistem imigresen negara.
"Kita tidak boleh bergerak ke belakang. Kita perlu mengekalkan pencapaian sedia ada dan membawanya ke peringkat lebih baik," kata Obama dalam satu ucapan kepada parta penyokongnya kelmarin.
Presiden berusia 49 tahun itu akan menggunakan logo kempen yang hampir sama dengan logo yang digunakan dalam pilihan raya 2008 untuk kempen terbarunya.
Logo kempen pilihan raya 2008 Obama yang direka oleh firma Sender LLC, menampilkan imej matahari menyingsing di langit biru yang simbolik kepada 'era baru', jalur merah putih mewakili negeri-negeri AS dengan semua simbol itu diletakkan dalam huruf O iaitu singkatan namanya.
Logo kali ini memiliki tema serupa, tetapi huruf O tersebut berada dalam barisan nombor 2012.
Obama yang mewakili Parti Demokrat, dipilih Presiden AS ke-44 pada 2009, selepas beliau menewaskan calon Parti Republikan, Senator John McCain dalam pilihan raya presiden 2008.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment