Wednesday, April 6, 2011

Suami lumpuh, isteri banting tulang




NASIR Abu Bakar terbaring akibat lumpuh ditemani isterinya, Roziah Ismail dan anak-anak di Kampung Hubong, Mersing, kelmarin.


MERSING 5 April – Tiada kata-kata dapat menggambarkan beban seorang suri rumah di Kampung Hubong di sini, yang terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga setelah suami tempat bergantung lumpuh akibat kemalangan semasa bekerja.
Roziah Ismail, 37, kini perlu membanting tulang empat kerat selepas suaminya Nasir Abu Bakar, 46, yang bekerja sebagai tukang rumah terjatuh dari bumbung hujung tahun lalu.
Lebih memburukkan keadaan apabila Nasir terlibat dalam kemalangan motosikal seminggu kemudian yang mengakibatkan kecederaan pada tulang belakangnya.
Pasangan yang mempunyai tanggungan 12 orang anak berumur antara setahun hingga 19 tahun kini hanya menumpang di sebuah rumah atas belas ihsan ketua kampung.
Roziah yang kini bekerja di kebun sayur jiran dengan pendapatan RM10 sehari memberitahu, suaminya tidak ke hospital selepas kejadian itu dan hanya mendapatkan khidmat urut tradisional.
Menurutnya, mereka tidak menyangka kesan kemalangan tersebut, Nasir tidak dapat bergerak sehingga terpaksa diangkat oleh ahli keluarga setiap kali suaminya hendak ke tandas.
Berikutan keadaan, itu, Roziah berkata, anak-anaknya kini turut bersama memerah tenaga membantunya sebaik tamat waktu persekolahan demi mencari wang saku.
“Namun, bantuan keperluan harian yang diberi ketua kampung, jiran dan majikan lama suami sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya,” katanya sambil berlinang air mata kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, kehadiran rombongan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman minggu lalu turut memberi sinar harapan.
Ini apabila keluarga itu kini hanya menunggu kelulusan sebelum elaun sara hidup bulanan dan bantuan perubatan diberikan kepada mereka.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi keluarga berkenaan di alamat No.39, Kampung Hubong, 86900 Endau, Mersing, Johor atau telefon anak lelakinya, Hairi Zaris 014-2710876.
Utusan Malaysia Online - Johor

No comments:

Post a Comment