Sunday, June 26, 2011

1,278 laporan bantah perhimpunan Bersih

KUALA LUMPUR 25 Jun - Polis hari ini telah menerima sejumlah 1,278 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Peningkatan jumlah itu dilihat serius dan membuktikan pelbagai lapisan masyarakat menentang hebat perhimpunan haram tersebut.

Rata-rata laporan yang dibuat menggesa pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas ke atas penganjur yang tidak putus-putus menjalankan kempen mempromosikan perhimpunan haram tersebut.

Di SELANGOR, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh Hulu Langat yang mewakili lebih 300,000 ahli dan 158 kawasan membuat lima laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 11 pagi ini.

Pengerusi KRT Sungai Kantan, Mejar (B) Harun Hashim yang mewakili 158 KRT itu berkata, pihaknya percaya perhimpunan haram tersebut hanya gimik untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pimpinannya.

Harun turut mempertikaikan kenapa kumpulan terbabit tidak mahu melakukan bantahan di kawasan tertutup seperti stadium.

"Kita melihat perhimpunan haram itu hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada orang awam dan menjejaskan pendapatan peniaga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, di Subang Jaya, Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Kelana Jaya, Azizam Othman berkata, tindakan pihak penganjur perhimpunan haram itu mencemarkan imej negara dan akan mencetuskan huru-hara di kalangan masyarakat.

"Perhimpunan sebegini bakal mengundang persepsi negatif masyarakat dunia terhadap Malaysia, malah ia juga memperlihatkan ketidakstabilan dari segi politik, sosial dan juga ekonomi negara.

"Pihak polis mengambil tindakan tegas terutamanya terhadap pihak penganjur, supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan daripada berlaku," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8 hari ini.

Di KEDAH, Kelab Kebajikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Kuala Kedah turut membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan haram Bersih.

Presiden kelab itu, Ahmad Mansor, 53, berkata, laporan dibuat bagi meminta pihak berkuasa bertindak mencegah perhimpunan berkenaan yang disifatkan berniat jahat dan tidak membawa sebarang manfaat.

Sementara itu, di PERAK, sebanyak 101 laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Rapat bagi membantah perhimpunan berkenaan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment