Sunday, June 26, 2011

Jeyakumar, 31 penyokong ditahan

KEPALA BATAS 25 Jun - Polis menahan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj bersama 31 lagi individu dipercayai penyokong perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, di sini hari ini.

Kumpulan itu dan Jeyakumar yang juga pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan kira-kira pukul 3.40 petang ketika menaiki bas pesiaran milik syarikat Ipoh Pemaju Travel & Tours Sdn. Bhd yang dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Petani, dekat sini bagi mempromosikan perhimpunan tersebut.

Ketika ditahan, kesemua mereka memakai baju T berwarna kelabu tertera gambar dacing digunting serta tulisan 'Sudahla..Bersaralah' manakala terdapat kain rentang tertulis 'Cukup 54 tahun. Bersaralah' digantung pada cermin bas berkenaan.

Difahamkan, polis yang menjalankan pemeriksaan ke atas bas tersebut menemui beberapa bendera PSM, buletin parti tersebut serta kira-kira 20 helai kemeja T tertera tulisan 'Anti Capitalism' berwarna merah.

Sumber polis memberitahu, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) untuk dirakamkan keterangan.

Sementara itu, di BATU PAHAT, polis menahan tujuh aktivis PSM di Kluang, dekat sini petang semalam kerana mengedarkan risalah bagi menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, mereka ditahan Jalan Stesen, kira-kira 6.30 petang bersama 7,000 risalah berkaitan perhimpunan haram itu.

"Kumpulan aktivis terbabit difahamkan dari Simpang Renggam terus menuju ke bandar Kluang untuk menyebarkan risalah itu.

"Tujuh yang ditahan terdiri daripada empat perempuan dan tiga lelaki yang berusia antara 19 hingga 36 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment