ALOR SETAR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung semalam memohon maaf secara terbuka berhubung insiden seorang gadis dipotong rambut sehingga botak semasa mengikuti latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai di Marang, Terengganu 2 Mei lalu.
Beliau yang kesal dengan insiden itu mengakui tindakan tersebut melangkaui sensitiviti agama dan hak individu di negara ini.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas JBPM, kejadian itu amat dikesali.
“Saya mohon maaf. Saya harap keluarga pelatih itu dapat menerima permohonan maaf saya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sidang akhbar itu sepatutnya dihadiri oleh pelatih terbabit, Hizyaty Othman, 28, dan ahli keluarganya. Bagaimanapun kelibat mereka tidak kelihatan.
Kosmo! semalam melaporkan Hizyaty mengadu trauma selepas rambutnya dipotong sehingga botak ketika menjalani latihan di akademi itu awal bulan lalu.
Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)) itu terpaksa melupakan impian untuk berkhidmat di JBPM kerana sudah serik untuk mengikuti latihan yang sama sekali lagi.
No comments:
Post a Comment