Sunday, June 26, 2011

Dinar emas untuk lelaki yang tidak rahsiakan poligami

KOTA BAHRU: Hadiah berbentuk dinar emas dan meraikan pasangan makan secara berhidang di restoran mungkin merupakan pilihan kerajaan negeri dalam memberi insentif kepada lelaki yang tidak merahsiakan perkahwinan poligami mereka di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar, berkata apa yang dilakukan kerajaan negeri itu adalah mengikut kemampuan yang ada.

'Kita tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk dalam memperkenalkan sesuatu program untuk faedah umum termasuk dalam memberi insentif kepada pasangan yang tidak merahsiakan perkahwinan poligami di negeri ini,' katanya.

Bagaimanapun, ia akan dibincangkan secara terperinci sebelum dilaksanakan sepenuhnya, jelas beliau.

Wan Ubaidah juga berkata, selebriti Salleh Yaakob, yang mempunyai empat isteri, mungkin diundang menghadiri satu majlis untuk dijadikan contoh pasangan berpoligami mengikut apa yang dikehendaki Islam.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri minggu lalu, Wan Ubaidah berkata kerajaan negeri bercadang memberi insentif kepada lelaki yang mendedahkan perkahwinan mereka secara poligami kepada umum bagi mengelakkan perselisihan faham dalam keluarga.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata cadangan kerajaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kelantan untuk memperkenalkan insentif itu tidak bermaksud kerajaan negeri menggalakkan mereka berpoligami.

Menurutnya, ia lebih kepada usaha mencari kedamaian pasangan yang mempunyai niat untuk berkahwin lebih daripada satu supaya tidak menimbulkan masalah.

'Kita tidak galakkan lelaki berpoligami, tetapi ia bertujuan mencari kaedah bagaimana perkahwinan poligami itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan tidak menimbulkan masalah kepada pasangan kerana ia adalah sesuatu yang sensitif, baik bagi lelaki mahupun wanita,' katanya.

Beliau menambah, cadangan kerajaan negeri itu bukan sahaja tidak dihalang oleh agama, malah kaedah itu boleh membantu anak dara tua atau janda berkahwin dan mendapat pembelaan suami. -- Bernama.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment