Sunday, June 26, 2011

Polis akan panggil penganjur

IPOH 25 Jun – Polis akan bertindak memanggil semua pihak yang merancang untuk menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai ini, setelah menerima lebih daripada 1,000 laporan yang membantah perhimpunan tersebut sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, sehingga semalam, polis telah menerima sejumlah 1,248 laporan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pertubuhan yang membantah perhimpunan tanpa permit itu.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan memanggil penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada minggu depan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertemakan Warga Kreatif Pasukan Berinovatif di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengingatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dalam perhimpunan haram anjuran kumpulan pengacau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu nanti.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, keamanan negara tidak seharusnya dibiarkan tergugat dengan terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram seumpama itu.

“Perhimpunan ini boleh mengundang ketegangan dan ketenteraman awam. Justeru, kita harap semua pihak faham dan tidak turut serta dalam perhimpunan haram ini.

‘‘Saya memantau perkara ini, lagi pun sudah banyak laporan yang tidak menyokong penganjuran perhimpunan Bersih ini diterima,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Pembangunan Wanita dan Bengkel Pencegahan Jenayah di Bandar, di Kuala Lumpur hari ini.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment