SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, memberi dua keterangan bercanggah berhubung hukuman penjara dijalaninya.
U Suresh, 27, yang sedang menjalani hukuman itu di Penjara Sungai Udang, Melaka, memberi jawapan demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, pada perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi, semalam.
Suresh turut memberitahu, tandatangan pada kenyataan beramaran kepada polis bukan tandatangannya.
Selain Ishak, pihak pendakwaan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.
ISHAK: Kamu kata kamu menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka. Kenapa kamu dipenjarakan?
SURESH: Saya berada dalam penjara kerana polis arahkan saya kerana bagi keterangan palsu.
ISHAK: Di mana kamu membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan yang kamu sedang jalani hukuman itu?
SURESH: Di mahkamah Banting, Selangor.
ISHAK: (Sekali lagi bertanya) Kenapa kamu dipenjarakan?
SURESH: Sebab polis beri keterangan palsu.
Terdahulu, Suresh berkata, dia ditahan bersama-sama tertuduh kedua, ketiga dan keempat, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, bersama dua lagi wanita di sebuah ladang di Banting pada 9 September tahun lalu.
Saksi itu berkata, seramai 40 anggota polis berada di ladang itu ketika mereka semua ditangkap.
Pada keterangan lain, Suresh mengakui dia memberi kenyataan kepada polis di Penjara Sungai Udang dan menandatanganinya.
Bagaimanapun apabila Ishak mengemukakan satu kenyataan di mahkamah, saksi itu menafikan tandatangan itu miliknya.
“Ini bukan tandatangan saya. Tandatangan saya berbeza,” katanya.
Menjawab satu soalan Ishak, Suresh berkata, dia tidak berada di ladang tempatnya bekerja jam 7 malam, 30 Ogos tahun lalu kerana berada di rumah pakciknya di Cheras.
Saksi itu berkata, dia juga tidak pernah melihat kenderaan dengan nombor pendaftaran WTL 11.
(WTL 11 adalah nombor pendaftaran BMW milik Sosilawati yang ditemui di parkir Flat Angsana, Subang Jaya pada 6 September 2010)
Saksi sama juga menafikan mengenali seorang lelaki bernama V Selvapandian.
Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi meminda hukuman penjara tujuh kepada 20 tahun terhadap Suresh, 27, dan rakan sekerjanya, K Sarawanan, 20, mengaku bersalah atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti Sosilawati, 47, dan tiga individu lain.
Akhtar Tahir menetapkan kedua-dua pihak berhujah berhubung isu itu apabila prosiding bersambung pagi hari ini.
No comments:
Post a Comment