Tuesday, July 26, 2011

Menteri China mohon maaf


PEKERJA membersihkan kawasan  gerabak  yang terjatuh dari jejambat dalam nahas  dengan sebuah lagi kereta api  Sabtu lalu.
PEKERJA membersihkan kawasan gerabak yang terjatuh dari jejambat dalam nahas dengan sebuah lagi kereta api Sabtu lalu.


Nahas kereta api laju jejas rancangan perluas sistem ke seluruh negara

BEIJING: Menteri Kereta Api China, Sheng Guangzu, semalam memohon maaf kepada mangsa pelanggaran kereta api dan keluarga mereka, ketika siasatan awal nahas semakin menjurus kepada kesilapan manusia sebagai punca utama.

Kementerian Kereta Api dan pegawai kanan kerajaan tidak membuat penjelasan mengapa kereta api kedua tidak diberi amaran bahawa ada sebuah lagi kereta api sedang berhenti di laluannya sebelum rempuhan berlaku.
Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah kereta api laju dari Hangzhou, terputus bekalan elektrik akibat disambar petir lalu merempuh bahagian belakang sebuah kereta api dari bandar raya Wenzhou, menyebabkan enam gerabak tergelincir dan empat daripadanya terhumban kira-kira 30 meter dari jejambat. Seramai 38 orang termasuk dua warga Amerika terbunuh, manakala lebih 190 lagi cedera.
Tiga pegawai Biro Kereta Api Shanghai dipecat selepas kejadian itu, manakala media milik kerajaan menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan sistem kereta api China yang menarik minat berjuta-juta penduduk setiap tahun.

Nahas kereta api terburuk sejak 2008 itu juga menimbulkan kebimbangan, ia mungkin menjejaskan rancangan China meningkatkan sistem perkhidmatan kereta api laju ke seluruh negara.

Seorang pakar berpendapat kecuaian manusia berkemungkinan menjadi punca nahas terbabit.

“Saya rasa masalahnya mungkin berpunca daripada kesilapan pengurusan perjalanan berbanding kegagalan teknologi. Sistem yang ada sepatutnya berupaya mengeluarkan amaran secara automatik atau menghentikan kereta api dalam keadaan tertentu,” kata profesor di Institut Penyelidikan Pengangkutan Universiti Teknologi Beijing, Qi Qixin.
Kemalangan ini adalah tamparan terbaru dalam usaha China mempertingkatkan perkhidmatan kereta api laju yang direka bagi menunjukkan kemajuan dan kehebatan teknologi pengangkutannya sebagai negara maju, seiring program angkasa lepas negara itu.

Beijing merancang memperluaskan rangkaian pengangkutan kereta api laju, untuk menghubungkan wilayah terpencil di China selain cuba menjual kereta apinya ke Amerika Latin dan Asia Barat.

Bagaimanapun pengkritik berkata, harga tiket terlalu mahal manakala, perkhidmatannya tidak memenuhi keperluan rakyat biasa dan golongan bawahan pelbagai wilayah.

Bulan lalu, China melancarkan rangkaian landasan kereta api laju dari Shanghai ke Beijing, di mana kereta apinya mampu bergerak dengan kepantasan 300 kilometer sejam. Kelajuan itu dikurangkan daripada 350 kilometer sejam yang dijangkakan sebelum itu, selepas persoalan mengenai keselamatannya ditimbulkan. – APBerita Harian Online | Menteri China mohon maaf

No comments:

Post a Comment