Tuesday, July 26, 2011

Polis didesak siasat James Murdoch

LONDON 25 Julai - Eksekutif News Corp., James Murdoch menghadapi tekanan hari ini berhubung keterangan yang diberikannya mengenai skandal penggodaman telefon yang melanda empayar media keluarga Murdoch dan boleh mengancam kedudukannya sendiri dalam syarikat itu.
Polis Britain sedang menimbangkan permintaan ahli politik pembangkang Parti Buruh, Tom Watson supaya mereka menyiasat dakwaan anak lelaki kepada ketua News Corp., Rupert Murdoch itu memberi keterangan 'salah' pada sesi berprofil tinggi di Parlimen pada minggu lalu.
Dalam perkembangan berasingan, seorang ahli Parlimen Buruh, Chris Bryant telah menulis surat kepada para pengarah bebas News Corp. untuk menggesa mereka menggantung James, 38, dan bapanya kerana gagal melaksanakan kawalan korporat yang sewajarnya.
James dan Rupert, 80, menghadapi jawatankuasa media di Parlimen pada Selasa lalu untuk menjawab soalan mengenai skandal penggodaman telefon di akhbar News of the World.
Syarikat induk News of the World, News International sebelum ini mendakwa insiden penggodaman di akhbar tabloid tersebut hanya melibatkan seorang pemberita yang bertindak sendirian.
Bagaimanapun dua bekas pegawai kanan News of the World pada Jumaat lalu mempertikaikan dakwaan James semasa memberi keterangan di Parlimen bahawa beliau tidak mengetahui satu e-mel pada 2008 yang menunjukkan salah laku tersebut berlaku secara lebih meluas. - Reuters
E-mel itu berkaitan dengan penyelesaian di luar mahkamah membabitkan wang berjumlah 700,000 pound (RM3.3 juta) yang dibayar kepada ketua kesatuan sekerja pemain bola sepak England dan ditandatangani oleh James pada 2008, sejurus selepas beliau mengambil alih peranan sebagai ketua operasi News Corp. di Eropah.
James dalam surat kepada pengerusi jawatankuasa media Parlimen berkata, beliau telah menjawab soalan di Parlimen dengan jujur.
Namun ahli Parlimen dijangka menghubungi dua orang yang mempertikaikan keterangan beliau itu, bekas editor News of the World, Colin Myler dan ketua pegawai undang-undang kumpulan akhbar itu, Tom Crone untuk mendengar keterangan mereka sendiri.
"James Murdoch dalam kedudukan berbahaya, kerana jika beliau didapati mengetahui butir-butir penyelesaian yang ditandatanganinya, beliau menghadapi masalah besar.
"Bagaimanapun jika beliau langsung tidak mengetahui mengapa beliau meluluskan pembayaran wang sebegitu banyak, timbul pula persoalan lain, sama ada beliau cekap untuk mengendalikan syarikat dan sama ada beliau layak untuk menggantikan bapanya," kata penganalisis media, Steve Hewlett. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment