Tuesday, July 26, 2011

Media terus tuding umat Islam tanpa bukti

KETIKA Norway bersedih dengan pembunuhan 93 orang yang dilakukan pelampau Kristian, media di seluruh dunia berdepan dengan soalan sukar mengenai tindakan melulu mereka menuding jari ke arah umat Islam berhubung kejadian itu.

Penulis blog menyelar akhbar ‘aliran utama’ menerusi Internet, wartawan profesional saling tuduh-menuduh mengenai siapa yang paling cepat dalam membuat keputusan melulu, atau kegagalan mereka untuk membuat analisis lebih seimbang. Dalam pada itu, masyarakat Islam, khususnya yang menetap di Barat, dibiarkan untuk terus berfikir sama ada ketidakpercayaan terhadap mereka yang begitu meluas akan berkurangan.


“Hari yang tragik bagi Nor- way, hari yang memalukan untuk dunia kewartawanan,” adalah cara bagaimana pakar sejarah Universiti Brown, Shiva Balaghi menyifatkan liputan kejadian itu di laman web jadaliyya.com. “Menerusi pusingan berita 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, didorong kegilaan pakar keganasan yang menjalankan kajian menggunakan Google dan menulis dalam Twitter, wartawan sepatutnya berhati-hati,” katanya. Ketika media online dan penyiar beralih secara berperingkat-peringkat mengalihkan fokus mereka terhadap suspek, daripada Islam kepada militan tempatan berhaluan kanan, akhbar, khususnya di Eropah, dimalukan dengan perubahan berita ketika ia dicetak malam Jumaat lalu.

Sebahagiannya berkeras menyatakan suspek militan Islam. ‘Kekejaman Al-Qaeda: 9/11 Norway,’ terpampang di muka depan akhbar paling laris Britain, The Sun.


Meskipun berkata suspek sudah dicam, lelaki berambut perang dengan berpakaian seragam polis, laporan ringkas muka depan akhbar itu mendakwa, pegawai mengesyaki suspek ialah fanatik Islam dan pembunuh itu mungkin warga tempatan yang memeluk Islam dan anggota al-Qaeda.


“Tidak bersalah sehingga dibukti bersalah’ bertukar menjadi ‘bersalah sehingga dibukti tidak bersalah’ apabila ia membabitkan orang Islam,” kata pengulas berita warga Britain kelahiran Iraq, Adnan Al-Daini dalam www.huffingtonpost.com. “Media bertanggungjawab mesti bertindak lebih baik. Nyawa orang tidak berdosa mungkin bergantung pada laporan mereka,” katanya.

Profesor Kewartawanan Politik di Universiti City, London, Ivor Gaber melihat campuran ‘malas’ dan ‘niat jahat’ di kalangan media dengan kesediaan untuk dipengaruhi agenda yang sudah ditetapkan menerusi kejadian lama dan juga, bagi sesetengah pihak, untuk menanamkan perasaan bimbang di kalangan pembaca mereka.

“Kita mewujudkan budaya panik kerana media popular menyebarkan perasaan takut. Hari ini, yang popular ialah militan Islam. Kerana itu, setiap kejadian buruk, tumpuan ialah pada mereka,” katanya.

Jika penulis tajuk akhbar diselar kerana tidak berhati-hati dalam melaporkan keadaan yang jauh belum jelas, tidak seperti pegawai Norway yang bertindak lebih berwaspada dalam membuat tuduhan, pakar pengulas dan penulis pojok juga menjadi sasaran kecaman pada hujung minggu, Peter Knoope, Pengarah Pusat Memerangi Keganasan Antarabangsa yang berpusat di Belanda berkata, wartawan melakukan apa yang pakar penganalisis berkata selama ini: “Meskipun sebahagian reaksi dalam media semalam bertindak secara berhati-hati, namun ramai yang menggambarkan ketaksuban Barat mengenai keganasan dalam Islam.


“Seorang pakar semalam mendakwa ‘pembunuh tinggi lampai dan berambut perang itu mungkin mualaf.’ Ini menggambarkan pemikiran bahawa semua yang buruk berpunca daripada satu sumber - aktivis Islam.” Antara pakar berfikiran singkat seperti itu ialah Will McCants, bekas penasihat Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai perang menentang keganasan yang kini berkhidmat di Universiti John Hopkins.


Dia menarik perhatian menerusi Twitter dengan menuding jari terhadap aktivis Islam, sejurus selepas pengeboman di Oslo. Antara kesan menonjol dalam ulasan sebahagian media terhadap kenyataan McCant yang disiarkan dalam laman web New York Times ialah dia menjadi sasaran blogger lain.


Laman web Palestin electronicintifada.net mengecam McCant dengan tajuk akhbarnya berbunyi “Bagaimana dungunya seorang ‘pakar keganasan’ - menetapkan agenda media yang membenci orang Islam.” Perasaan perkauman jelas dilihat di Amerika Syarikat dengan wartawan berhaluan kiri dan kanan membuat kenyataan jahat, bukan saja dalam laporan mereka tetapi juga ulasan, mengenai pengajaran yang perlu diambil akibat daripada pembunuhan beramai-ramai di Norway itu.


“Washington Post perlu mohon maaf kepada dunia,” kata James Fallods menerusi laman web Atlantic Monthly. Beliau membidas penulis blog akhbar itu, Jennifer Rubin, yang tulisannya masih terpapar pada laman web akhbar itu, yang menggesa perlunya tindakan untuk memerangi ancaman Islam.


“Ini peringatan kepada mereka yang beranggapan ia terlalu mahal untuk melancarkan perang terhadap mujahid Islam,” kata Jennifer dalam tulisannya itu.


“Ia bukan orang lain, malah kita juga terbayang serangan di Norway itu ada kaitan dengan Islam,” kata Basharaf Nazir, jurucakap Badan Islam Ahmadiyya di Britain yang mengadakan perhimpunan tahunan minggu lalu untuk mempromosi keamanan.


Menurutnya, apabila mengetahui pembunuh di Nor- way itu pelampau Kristian tempatan, ia melegakan masyarakat Islam lebih-lebih lagi kumpulan itu baru saja menjalankan kajian seminggu lalu yang menunjukkan hampir sepertiga rakyat Britain berpendapat media perlu disalahkan kerana meningkatkan kebencian terhadap Islam.


“Sebahagian besar pendapat menyalahkan media kerana memberi tumpuan terhadap aspek negatif. Apa saja yang negatif, orang ramai akan menyangka ia dilakukan oleh orang Islam.” katanya. - Reuters

myMetro | Media terus tuding umat Islam tanpa bukti

No comments:

Post a Comment