Thursday, July 28, 2011

4 saudara disaman RM10 juta akibat fitnah



SHAH ALAM - Gara-gara mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di laman sosial facebook, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga ahli keluarga disaman RM10 juta.

Saman itu difailkan Pembantu Ahli Majlis PKR, Zalina Jaafar, 42, menerusi Tetuan Faizul Nasir & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Zalina, bekas setiausaha kerja di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, hadir bersama peguamnya, Faizul Mohd Nasir.

Dalam writ saman itu, Zalina selaku plaintif menamakan Mahharul, Setiausaha Cabang PKR Petaling Jaya Selatan sebagai defendan pertama diikuti dua adik perempuan lelaki itu, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani.

Beliau mendakwa Mahharul mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sosial miliknya pada 28 September lalu, manakala kenyataan di laman milik defendan Wan Ikhwan dikeluarkan pada 21 September lalu.

Menurutnya, semua kenyataan itu menyebabkan reputasi berkaitan dirinya tercemar.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teladan, kos dan faedah pada kadar lapan peratus setahun dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah.

Faizul berkata, mahkamah menetapkan 27 September depan untuk pengurusan kes pra bicara berhubung saman difailkan Zalina.
SH

No comments:

Post a Comment