Thursday, July 28, 2011

Beng Hock: SPRM teliti cadangan suruhanjaya


PUTRAJAYA 27 Julai - Jawatankuasa Eksekutif Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang buat pertama kali bersidang di sini hari ini bersetuju meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock.

SPRM dalam kenyataan akhbar hari ini memberitahu, jawatankuasa itu juga bersetuju dengan cadangan untuk melibatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan dan membuat rumusan ke atas cadangan penambahbaikan berkaitan.

''Seramai tujuh daripada sembilan ahli jawatankuasa tersebut telah menghadiri mesyuarat kali pertama itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

''Antara mereka yang hadir adalah wakil Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), D. Ravindran dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan (juga merupakan ahli Suruhanjaya Diraja Siasatan Kematian Teoh Beng Hock, Datuk Abdul Kadir Sulaiman," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu akan berfungsi secara sementara bagi tempoh enam bulan dan akan bersidang sekali dalam tempoh dua minggu.

Ia akan bertanggungjawab dalam meningkatkan prestasi kualiti, pentadbiran mekanisme penyeliaan, memantau dan melaksanakan reformasi struktur dan pengurusan SPRM, keberkesanan siasatan, memantapkan pencapaian fungsi operasi melalui pembangunan modal insan dan memajukan keupayaan siasatan perakaunan forensik.

Selain itu ia juga akan memperhalusi usaha sedia ada SPRM bagi mengesan kelemahan serta mengambil tindakan pemulihan segera serta akan melihat secara keseluruhan struktur dan mengkaji semula semua sistem dan prosedur operasi masa kini.

Kenyataan itu memberitahu, mesyuarat pertama itu turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Rashpal Singh; Pengerusi Jawatankuasa Aduan, Datuk Mohd. Nor Abdullah dan Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Datuk Seri Azman Ujang.

''Anggota lain ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Sutinah Sutan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment