Thursday, July 28, 2011

Polis cari kaitan Breivik dengan pelampau UK


OSLO 27 Julai - Perkhidmatan Keselamatan Polis (PST) Norway masih belum menemui sebarang bukti yang mengaitkan suspek serangan berkembar di Oslo, Anders Behring Breivik dengan pelampau berhaluan kanan di United Kingdom.

Ketuanya, Janne Kristiansen berkata, pihaknya buat masa ini percaya, suspek yang membunuh sekurang-kurangnya 76 mangsa dalam dua serangan itu bertindak sendirian.

"Buat masa ini kami masih belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan suspek mempunyai kaitan dengan pergerakan atau jaringan lain," katanya kepada BBC di sini hari ini.

Breivik yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan berkenaan melalui manifesto '2083: Perisytiharan Kemerdekaan Eropah' tulisannya mengakui, dia ada bertemu kumpulan berhaluan kanan di United Kingdom sembilan tahun lalu.

Kristiansen dalam pada itu memberitahu, dia tidak merasakan Breivik, 32, seorang lelaki yang 'tidak siuman' seperti yang dikatakan peguam suspek Geir Lippestad, tetapi lebih bersifat jahat dan suka meraih perhatian ramai.

Lippestad terdahulu dilaporkan berkata, adalah terlalu awal untuk menyatakan anak guamnya gila semasa perbicaraan walaupun 'keseluruhan kes menunjukkan suspek tidak siuman'.

"Dia percaya dia sedang berperang dan dia yakin apabila bertempur anda boleh lakukan serangan seperti itu tanpa mengaku bersalah," kata peguam itu kepada wartawan.

Sementara itu, polis Norway semalam mula mengeluarkan nama mangsa yang terbunuh dalam serangan berkembar Oslo di laman webnya.

Empat mangsa awal dikenal pasti sebagai Gunnar Linaker, 23; Tove Ashill Knutsen, 56; Hanna M Orvik Endresen, 61; dan Kai Hauge, 32.

Ketua Polis Sveinung Sponheim berkata, nama-nama mangsa akan dikeluarkan secara berperingkat setiap hari sehingga semua yang maut dikenal pasti. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment