PARIT BUNTAR: Tosai menjadi makanan terakhir dijamu A Yogeswara Rao, 25, sejam sebelum badannya terputus dua apabila treler dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah bas ekspres dalam kejadian awal pagi semalam.
Yogeswara yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga dan rakan sekerjanya, K Supramaniam, 30, berhenti makan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang.
Rakan setugas mangsa, R Elangowan, 29, berkata, Supramaniam sempat berseloroh dan bergurau ketika ditemuinya di R&R itu sekitar jam 11 malam kelmarin.
Menurutnya, Yogeswara dan Supramaniam dalam perjalanan pulang ke kilang syarikat di Butterworth, Pulau Pinang selepas ditugaskan menghantar bekalan gula di Kuala Lumpur dan Ipoh.
“Ketika bertemu mereka, kedua-dua rakan saya itu rancak berbual dan memberitahu tidak sabar pulang ke rumah bertemu isteri dan keluarga masing-masing.
“Mereka sempat membelanja saya makan tosai sebelum meneruskan perjalanan ke Butterworth. Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan kira-kira jam 2 pagi semalam,” katanya.
Sementara itu, bapa mentua Yogeswara yang hanya mahu dikenali Shanmugan, sebak ketika dimaklumkan seorang rakannya mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6 pagi semalam.
“Pada mulanya saya tidak percaya kemalangan itu meragut nyawa menantu saya yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan saya, Navitha, 26. “Navitha tidak dapat datang dari Kulim kerana terlalu sedih dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Supramaniam meninggalkan seorang isteri dikenali Letchumy dan tiga anak masing-masing berusia lima tahun, tiga tahun dan lapan bulan.
No comments:
Post a Comment