Friday, July 29, 2011

Lambaian terakhir anak

KUALA NERANG: “Arwah bersama anak dan isterinya sempat melambai kepada saya serta isteri sebelum mereka menaiki kereta abang iparnya untuk ke Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar, kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin).

“Dia tidak banyak bercakap, manakala cucu saya, Muhammad Fariz Abd Shahreer, 18 bulan, pula manja dengan saya seolah-olah tidak mahu berpisah dengan kami,” kata Abu Hasan Ibrahim, bapa Abd Shahreer Abu Hasan, 23, yang maut bersama anaknya apabila bas dinaiki dirempuh sebuah treler di Kilometer 201.5, arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Bukit Merah, Perak, kira-kira jam 12.25 tengah malam kelmarin.


Abu Hasan, 55, berkata dia tidak menyangka panggilan telefon diterimanya kira-kira jam 7 pagi semalam membawa berita buruk mengenai kehilangan anak lelaki keempat daripada enam beradik dan cucu kesayangan buat selama-lamanya.

Sebelum kejadian, mangsa yang lebih mesra dengan panggilan Aril pulang bercuti di rumah keluarga mentuanya di Kampung Padang Setol, Mukim Pedu, dekat sini, selama tiga hari sejak Selasa lalu. Bagaimanapun, mereka singgah di rumah Abu Hasan di Lorong Telok Belanga, di sini, untuk menziarahi ibu bapanya sebelum bertolak pulang ke Johor.


Arwah yang sudah bertugas empat tahun sebagai anggota polis menetap di Kuarters Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Johor Bahru.


“Biasanya, rumah ini akan riuh jika Aril pulang, tapi semalam (kelmarin) dia tidak bercakap banyak hinggakan saya terasa perubahan pada dirinya, namun tak sangka dia pergi buat selama-lamanya.

“Saya dapat tahu mengenai kemalangan ini daripada keluarga besan dan pada mulanya hanya diberitahu bas yang dinaiki Aril terbabit kemalangan dan tak sampai 15 minit kemudian, saya dimaklumkan dia dan anaknya meninggal dunia.


“Luluh hati saya mendengar berita menyedihkan itu apatah lagi ketika saat menjelang Ramadan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

myMetro | Lambaian terakhir anak

No comments:

Post a Comment