Friday, July 29, 2011

Lihat bayi berdarah

KERIAN: “Mengalir air mata saya melihat bayi itu terbaring berlumuran darah di celah rumput tepi parit bersama ibunya. Tidak jauh dari situ, terbaring mayat bapanya yang turut tercampak dari bas,” kata saksi kejadian, Umar Khairi, 20.

Umar, seorang daripada 32 penumpang bas ekspres SNS International yang dirempuh sebuah treler membawa gula berkata, lututnya menggeletar melihat keadaan menyayat hati itu.


Katanya, ketika kejadian dia tidur sebelum dikejutkan dentuman kuat diikuti gegaran luar biasa. “Sebaik membuka mata, saya melihat kedua-dua tangan saya luka. Ketika itu kelam-kabut berikutan ramai penumpang terutama kanak-kanak menjerit ketakutan dan cuba keluar dari bas untuk menyelamatkan diri.

“Kami keluar melalui tingkap bas sebelah kanan yang pecah. Ketika itu saya melihat bayi terbabit (Muhammad Fariz Abd Shahreer, 18 bulan) terbaring sebelum didukung seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.


Menurutnya, ibu bayi itu tidak sedarkan diri dan bapanya pula terbaring tidak bernyawa.


Umar berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Johor Bahru selepas mengunjungi rumah kenalan lamanya di Kangar, Perlis.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Mohd Nasir Evin, 28, bersyukur kerana anak perempuannya, Noratikah Nabila, 3, hanya tercampak ke bahagian pemandu bas tanpa cedera serius.

“Saya, isteri dan anak dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, selepas bercuti di rumah keluarga isteri di Alor Setar, Kedah. Kami tidur apabila dikejutkan dengan dentuman dan saya mendapati Noratikah tiada di tempat duduk sebelum menemuinya tercampak kira-kira lima meter di ruang hadapan bas berhampiran tempat duduk pemandu.

“Saya mendapatkan Noratikah yang menangis ketakutan sebelum memimpin tangan isteri keluar dari bas melalui tingkap yang pecah. Apapun, saya bersyukur kerana kandungan isteri yang hamil lima bulan selamat selepas diperiksa di Hospital Taiping, tadi (semalam),” katanya.

myMetro | Lihat bayi berdarah

No comments:

Post a Comment