SYDNEY: Polis Australia semalam berkata, mereka melancarkan siasatan pertama perdagangan organ selepas seorang pesakit buah pinggang warga tua dilaporkan membawa seorang rakyat Filipina ke bandar raya ini untuk tujuan pemindahan organ.
Polis berkata, sebuah kediaman diserbu Mac lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan perdagangan organ dan siasatan masih dijalankan. “Ini kes perdagangan organ pertama disiasat Polis Persekutuan Australia,” kata jurucakap polis.
Pegawai polis yang ditugaskan menangani kes pemerdagangan manusia dan jenayah hamba seks masih menyiasat kes itu.
Menurut Sydney Morning Herald, kes itu berkait rapat dengan seorang wanita tua yang menghadapi masalah buah pinggang membawa wanita muda dari Filipina dengan niat untuk melakukan pemindahan organ. Perjanjian itu dilaporkan dibuat tanpa persetujuan penuh wanita Filipina terbabit dan terbongkar ketika sesi prapembedahan di sebuah hospital di Sydney.
Badan pemindahan organ Australia berkata, terdapat 1,951 orang dalam senarai menunggu dan prosedur ketat sumbangan bermakna pemindahan organ secara haram membabitkan sindiket penyeludupan adalah tidak mustahil. - AFP
No comments:
Post a Comment