Friday, September 9, 2011

Isu Tauliah: Masjid, surau Selangor dilarang jemput ahli politik beri ceramah



September 08, 2011
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menolak rayuan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk mendapatkan tauliah selaras dengan perkenan Sultan Selangor yang tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau negeri itu.
Sehubungan itu pengurusan surau dan masjid di negeri tersebut dilarang menjemput Khalid atau mana-mana ahli politik bagi menyampaikan kuliah dan ceramah agama.
“Mais dengan ini mengingatkan dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor supaya tidak menjemput, membenarkan atau memberikan peluang kepada YB Khalid dan mana-mana ahli politik untuk memberikan ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah Mais yang masih berkuat kuasa,” kata Pengerusi Mais Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataan itu, Adzib juga berkata, Khalid memang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.
Malah Mais juga mengesahkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memanggil Khalid untuk memberi keterangan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, Khalid tidak boleh membuat apa-apa penyampaian agama termasuk tazkirah, ceramah, kuliah dan pengisian agama di masjid dan surau ekoran ketiadaan tauliah dari Mais.
“Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RN3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Adzib berkata, rayuan Khalid berhubung penarikan tauliah beliau ditolak pada mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Mais yang bersidang 23 Jun lalu.
Selain isu membabitkan kedudukan Khalid, Jais juga membatalkan tauliah yang diberikan kepada Adun Meru Dr Abdul Rani Osman bulan lalu.
Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Dr Rani tidak menolak kemungkinan tindakan Jais membatalkan tauliah kuliah agama yang dikeluarkan kepada beliau tahun lalu bermotifkan politik ketika pilihan raya umum ke-13.
Malah, Dr Rani mendedahkan beliau juga difahamkan ramai lagi pemimpin PAS Selangor dan dari negeri-negeri lain turut telah ditarik balik tauliah yang membenarkan penyampaian kuliah agama di negeri paling kaya di Malaysia itu.
Bagaimanapun beliau tiada jumlah angka yang tepat mengenai pemimpin-pemimpin PAS yang terbabit.
Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.
“Saya difahamkan ramai lagi pemimpin PAS sudah ditarik balik tauliah, tidak disambung tempoh kelayakan tauliah,” kata beliau.
“Saya fikir ia ada kaitan dengan politik, kerana pilihan raya sudah dekat... mereka sedar pemimpin-pemimpin PAS sudah semakin dekat dengan rakyat... mereka yang datang ke masjid dan surau, yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata beliau.
Difahamkan Badan Perhubungan PAS Selangor akan membuat pendirian pada  mesyuarat bulannya minggu depan.
Kelmarin, Jais mengenakan tuduhan ke atas Khalid kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah ketika Ramadan.
Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.
Khalid didakwa menyampaikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberi tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.
Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.
Adun Meru itu menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.
Jais mewajibkan mana-mana pihak walaupun berlatarbelakangkan pendidikan agama mendapatkan permit atau tauliah, dan ia akan diperbaharui setiap tahun.

No comments:

Post a Comment