Friday, September 9, 2011

Pegawai kastam dituduh rasuah



ALOR SETAR - Seorang anggota Kastam Diraja Malaysia yang memegang jawatan Pembantu Penguasa Kastam cawangan Langkawi, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 26 Mac tahun lalu.

Lee Kuang Guan, 52, yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jeti Kuah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, kira-kira jam 10.10 pagi, Kuang Guan menerusi panggilan telefon, meminta suapan RM440 daripada S Arichindarem, 51, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Arichindarem bagi kesalahan membawa keluar arak bernilai RM1,340 daripada dikenakan bayaran cukai semasa pemeriksaan yang dilakukan Kuang Guan.

Kuang Guan didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Manakala bagi pertuduhan kedua, kira-kira jam 2.30 petang tarikh sama, di tandas lelaki Balai Berlepas, Jeti Kuah, Kuang Guan dituduh menerima suapan bernilai RM440 daripada S Arichindarem, 51, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Arichindarem bagi kesalahan membawa keluar arak bernilai RM1,340 daripada dikenakan bayaran cukai semasa pemeriksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mohd Rosli Osman menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh mohon dikurangkan atas alasan dia seorang penjawat awam dan tidak akan melarikan diri. Wang jaminan kemudiannya ditetapkan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya SPRM, A Hafiiz Abu Bakar manakala Kuang Guan diwakili peguam A Ashok. Mahkamah menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan kes.

No comments:

Post a Comment