Friday, September 9, 2011

Mahathir kata sokongan Najib merosot kerana Bersih 2.0

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Sept: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kemerosoton sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah akibat dari cara kerajaan BN mengendalikan perhimpunan Bersih.

Katanya, tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

"Saya tidak tahulah samada ia arahan Datuk Seri Najib ataupun tidak tetapi bila ia arahan kerajaan, ia dilihat buruk oleh orang ramai," katanya.

Mahathir berkata demikian dalam wawancara khas dengan Astro Awani dan disiarkan hari ini.

Merdeka Centre dalam kajiannya baru-baru ini mendapati sokongan terhadap Najib merudum teruk kepada 59 peratus berbanding 76 peratus sebelum ini.

Kenyataan Mahathir ini membayangkan beliau bersetuju dengan hasil kajian persepsi Merdeka Centre itu yang cuba ditolak oleh pemimpin kerajaan Umno termasuk oleh para menterinya.

Ketika ditanya komen beliau terhadap penglibatan anaknya, Marina Mahathir dalam perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai itu, Mahathir berkata, beliau tidak mengongkong anak-anaknya.

"Saya memberikan kebebasan kepada anak saya, saya tak paksa mereka ikut saya, mereka gunakan kebijaksanaan sendiri," kata Mahathir dalam rancangan itu.

No comments:

Post a Comment