Thursday, December 22, 2011

Bekas isteri Zainal Abidin kemuka dokumen tambahan tuntut nafkah



NATASYA Gabriel Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bekas isteri penyanyi Zainal Abidin, Natasya Gabriel Abdullah mengemukakan satu ikatan dokumen tambahan berhubung tuntutan nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM167,102.04 di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Bekas model yang kini berusia 52 tahun itu turut mengesahkan bahawa ikatan dokumen tersebut mengandungi salinan resit-resit bayaran yuran sekolah, yuran tuisyen dan tambang bas sekolah kedua-dua anak mereka.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain kemudian menetapkan 5 April tahun depan untuk sambung bicara bagi memberi peluang kepada peguam syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainal Abidin, 52, selaku defendan untuk menyoal balas Natasya.

Natasya sebagai plaintif yang diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin hadir ke prosiding hari ini pada pukul 11 pagi, manakala bekas vokalis kumpulan Headwind itu menyusul 10 minit kemudian.

Pada tahun lalu, Natasya memfailkan tuntutan nafkah anak-anaknya yang merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak 2003 sehingga kini.

Wanita itu bernikah dengan Zainal Abidin pada 24 Mac 1987 sebelum bercerai pada 12 Disember 2000. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki Mikhail, 19, yang menghidap autisme serta seorang anak perempuan, Timur, 17.

Artis lelaki yang terkenal dengan lagu Hijau itu turut berhadapan satu lagi tuntutan iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya itu.

Dalam tuntutan tersebut, Natasya memohon agar nafkah bulanan RM200 bagi setiap anak mereka dinaikkan kepada RM1,200 seorang manakala nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 seorang.

Bagi nafkah pembelajaran pula, Natasya menuntut agar belanja pendidikan Mikhail ditambah sehingga RM3,500 sebulan manakala Timur RM2,000 sebulan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment