Thursday, December 22, 2011

Mahkamah tolak permohonan Khairy batal saman Anwar


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Permohonan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk membatalkan saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya atas dakwaan memfitnah dalam satu ceramah politik di Lembah Pantai kira-kira tiga tahun lalu, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy memberitahu pemberita bahawa keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng setelah mendapati ia bukannya satu kes yang jelas untuk dibatalkan pada peringkat ini.

Muhammad Shafee berkata, mahkamah menolak permohonan Khairy yang dinamakan sebagai defendan dengan kos RM7,000.

Peguam itu turut memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan tersebut.

Pada 21 Februari lalu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan saman Ketua Pembangkang itu.

Khairy dalam permohonannya, menyifatkan saman yang dikemukakan oleh Anwar pada 7 Mac 2008 atas dakwaan memfitnah beliau dalam satu ceramah politik di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun yang sama, sebagai tindakan yang remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Ekoran ceramah tersebut, Anwar mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan satu rakaman klip video dalam beberapa laman web termasuk portal propembangkang, Malaysiakini.com., yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk Anwar and kin no threat yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah.

Anwar selaku plaintif mendakwa kata-kata tersebut menyinggung dan merupakan fitnah dengan niat memperkecilkan dirinya sebagai bekas Menteri Kewangan serta bekas Timbalan Perdana Menteri.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment